Ringkasan AI
- Astro Shaw meraih lima kemenangan termasuk satu Anugerah Khas menerusi tiga filem di Festival Filem Malaysia ke-35 di Istana Budaya.
- Filem Malam Terlarang, Abah Saya Uncle Mike, dan TARUNG: Unforgiven masing-masing memenangi anugerah utama dalam kategori lakonan, pengarahan, dan aksi.
- Papa Zola The Movie menerima Anugerah Khas Filem Box Office selepas mencatat kutipan hampir RM70 juta, tertinggi bagi filem animasi tempatan.
KUALA LUMPUR: Astro Shaw terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri perfileman tempatan apabila meraih lima kemenangan menerusi tiga filem serta satu Anugerah Khas pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, malam tadi.
Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata kejayaan di FFM35 mencerminkan komitmen berterusan syarikat dalam menyokong pembangunan industri filem tempatan menerusi penerbitan karya berkualiti serta kerjasama strategik bersama pelbagai pihak.
“Alhamdulillah, kami amat bersyukur dan berbangga dengan pengiktirafan yang diterima pada FFM35.
“Tahniah kepada semua pemenang, barisan pelakon, pengarah, pasukan kreatif dan seluruh tenaga produksi yang telah memberikan komitmen terbaik dalam menjayakan filem-filem ini,” katanya.
Antara pencapaian yang mencuri perhatian ialah kejayaan filem seram Malam Terlarang yang membawa pulang dua anugerah menerusi Aila Azizul bagi kategori Pelakon Wanita Harapan dan Ameen Mustajab menerusi kategori Kesan Khas Visual Terbaik.
Kemenangan itu dianggap cukup bermakna buat Aila yang menerima pengiktirafan menerusi penampilan sulungnya di layar perak.
Sementara itu, filem Abah Saya Uncle Mike, hasil kerjasama Astro Shaw bersama Etika Sdn Bhd, 7UP dan Mirinda, turut mencatat kejayaan apabila pengarahnya, Ezrie Gazali, dinobatkan sebagai Pengarah Harapan menerusi filem sulung arahannya.
Filem berkenaan diinspirasikan daripada kisah benar Michael Tong Wai Siong, atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, seorang lelaki berbangsa Cina yang membesarkan tiga anak Melayu.
Dalam kategori lain, filem aksi TARUNG: Unforgiven terbitan Alpha 47 dengan kerjasama Astro Shaw menyaksikan Mierul Aiman merangkul anugerah Pelakon Lelaki Harapan, manakala Defenderz Action Team memenangi kategori Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik.
Turut menerima pengiktirafan ialah filem animasi Papa Zola The Movie terbitan Monsta Studio bersama Astro Shaw yang meraih Anugerah Khas Filem Box Office.
Filem animasi tersebut mencatat kutipan hampir RM70 juta, sekali gus muncul sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi dalam sejarah industri perfileman negara.
Raja Jastina turut merakamkan penghargaan kepada rakan penerbitan dan kerjasama termasuk Etika Sdn Bhd yang telah memberikan kepercayaan dalam menghasilkan karya seperti Abah Saya Uncle Mike.