Ringkasan AI
- Cadangan sekatan Amerika Syarikat terhadap syarikat AS membina pusat data di luar negara menimbulkan ketidakpastian terhadap penganugerahan kontrak pusat data di Malaysia.
- Potensi sekatan dijangka membuka peluang kepada pemaju pusat data tempatan dan bukan AS untuk menyewakan kapasiti kepada syarikat teknologi AS.
- RHB IB mengekalkan penarafan 'Overweight' sektor pembinaan, dengan Gamuda, Sunway Construction dan Kerjaya Prospek sebagai pilihan utama.
KUALA LUMPUR: Cadangan sekatan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap syarikat-syarikat AS yang membina pusat data di luar negara mungkin mencetuskan semula kebimbangan mengenai kadar penganugerahan kontrak pusat data pada masa depan di Malaysia, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).
Firma penyelidikan itu memaklumkan bahawa ketidakpastian ini timbul susulan pengumuman Presiden AS, Donald Trump pada Jumaat lepas mengenai rancangan beliau untuk menyekat syarikat-syarikat AS daripada membina pusat data di negara lain, walaupun perincian mengenai dasar dicadangkan itu serta pelaksanaannya masih belum jelas.
Menurut RHB IB, sekiranya sekatan tersebut dilaksanakan, ia mungkin mendorong kontraktor untuk menilai semula prospek projek pusat data pada masa hadapan sehingga terdapat kejelasan.
"Pada Januari, 2025, apabila cadangan peraturan AS mengenai penyebaran kecerdasan buatan (AI) diumumkan, kami melihat trend umum penganugerahan kontrak pusat data di Malaysia terhenti seketika selama kira-kira empat hingga enam bulan, memandangkan pemaju pusat data mengambil pendekatan tunggu dan lihat," menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, RHB IB menyatakan potensi sekatan itu mungkin mewujudkan peluang bagi pemaju pusat data tempatan seperti EXSIM, AIMS Group, Open DC, dan YTL Data Centers serta pemain bukan dari AS seperti NEXTDC dan AirTrunk untuk menyewakan kapasiti kepada syarikat teknologi AS yang tidak dapat membina kemudahan sendiri di luar negara.
Bank pelaburan itu turut mengetengahkan potensi China untuk meluaskan kehadirannya di negara lain, memandangkan negara itu berusaha mencapai tahap berdikari lebih tinggi dalam pengeluaran cip semikonduktor susulan sekatan terkini AS terhadap cip AI, langkah berkenaan berupaya mengukuhkan lagi kehadiran geografi China dalam sektor AI.
Sementara itu, RHB IB melihat Gamuda Bhd sebagai entiti agak berdaya tahan terhadap potensi sekatan tersebut, memandangkan nilai perolehan kontrak turut merangkumi projek-projek selain pusat data, termasuk pembangunan landasan kereta api di dalam dan luar negara, projek tenaga boleh baharu di Taiwan dan Australia serta projek berkaitan air di Malaysia.
RHB IB mengekalkan penarafan 'Overweight' terhadap sektor pembinaan, dengan Gamuda, Sunway Construction Group Bhd, dan Kerjaya Prospek Group Bhd sebagai pilihan utama firma tersebut.
-- BERNAMA