Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria terkejut dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa berkaitan penguatkuasaan jenayah khalwat.

Katanya, undang-undang pencegahan maksiat yang dilaksanakan di negara ini sudah menjangkau lebih 50 tahun.

Harussani berkata sebagai seorang menteri, beliau (Mujahid) perlu lebih memahami mengenai undang-undang berkenaan.

"Orang berkhalwat selalunya buat di tempat tertutuplah, kalau ada kesalahan (maksiat) di hotel boleh kita masuk, itu pencegah maksiat buat.

"Jadi kalau tak boleh tegah, biarlah orang buat maksiat, tak perlu undang-undanglah.

"Kita laksanakan undang-undang ini sudah lama, tiada masalah pun," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mujahid yang dipetik berkata tiada lagi ketukan pintu di tengah malam atau pintu dipecahkan oleh pegawai agama jika mendapat laporan khalwat atau aktiviti lain yang menyalahi ajaran Islam.

Sebaliknya, tegas Mujahid, apa yang dilakukan oleh orang Islam di sebalik pintu yang tertutup adalah bukan urusan kerajaan.

BACA: Tiada lagi ketukan pintu tengah malam cegah khalwat

BACA:
Kenyataan saya tak salah - Mujahid

Mengulas lanjut, Harussani berkata amalan mencegah maksiat sepatutnya dilaksanakan di mana-mana kawasan sekali pun.

"Kita yang salah jika kita tidak cegah, kita kena cegah maksiat di mana pun," katanya.

Justeru, katanya, adalah lebih baik jika Mujahid panggil 'orang agama' untuk mengadakan perbincangan sebelum sesuatu kenyataan dikeluarkan.

"Saya rasa kita jangan buat kenyataan di surat khabar tak tentu pasal mari kita bincang dahulu pergi ke jabatan agama, adakan mesyuarat macam mana, jadi kalau kita buat tak tentu pasal ia jadi celarulah," katanya.