KUALA LUMPUR: Menteri dari UMNO akan membangkitkan isu penggunaan kalimah 'Allah' oleh penganut Kristian, pada mesyuarat mingguan Kabinet esok.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, isu tersebut mesti dibincangkan memandangkan kerajaan terus menerima keputusan menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi.

Beliau menegaskan isu berkenaan perlu ditangani dengan berhati-hati kerana ia melibatkan sensitiviti agama, kebebasan beragama dan keharmonian rakyat berbilang kaum di Malaysia.

BACA: Keputusan Mahkamah Tinggi berkait isu kalimah Allah di Sarawak tidak libatkan negeri lain - PM

“Dalam perkara ini, kajian lebih mendalam diperlukan bagi menangani isu ini secara adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat.

“Penyelesaian menyeluruh perlu dibincangkan dan dicapai termasuk pendekatan perundangan yang kukuh termasuk rujukan perkara ini ke Mahkamah Persekutuan, selain pendekatan bukan perundangan.

“UMNO akan terus memperjuang dan mempertahan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Tarik balik rayuan kerana percanggahan arahan pentadbiran

Kerajaan menarik balik rayuannya berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain untuk tujuan pengajaran.

Perkataan lain ialah kaabah, solat dan baitullah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan kerajaan menarik balik rayuan disebabkan berlaku percanggahan arahan pentadbiran KDN dan Kabinet pada tahun 1986.

Menurutnya, ia melibatkan percanggahan perundangan sivil berkaitan rampasan bahan penerbitan ketika itu dan bukannya isu teologi melibatkan pengunaan kalimah Allah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkait isu penggunaan kalimah Allah di Sarawak tidak melibatkan negeri-negeri lain di Malaysia.

Beliau mengulangi pendirian kerajaan kekal komited mempertahan dan melindungi kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Beraja khususnya dalam isu penggunaan kalimah Allah selaras dengan Perkara 11(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.