BANTING: Kampung Fatimah yang terletak di Kuala Langat dilihat sesuai dijadikan projek perintis Perkampungan Warisan Budaya India pertama di Malaysia berikutan keunikan kehidupan masyarakat estet yang masih dapat diketengahkan.
Hasrat itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Fatimah, M. Kunasikaran, yang mahu warisan kehidupan masyarakat estet dipelihara dan diperkenalkan kepada generasi akan datang.
Beliau berkata inisiatif yang dicadangkan menerusi pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 itu perlu dilaksanakan segera memandangkan gaya hidup tradisional masyarakat estet semakin terhakis akibat arus pemodenan.
"Gaya hidup warisan ini perlahan-lahan makin menghilang kerana ramai penduduk kini bekerja di kilang-kilang berdekatan, manakala generasi muda pula semakin terpisah daripada akar umbi, pekerjaan tradisional, adat resam, makanan warisan serta kisah sejarah nenek moyang mereka.
"Jika tiada konsep 'Mari Kita Kenang Semula Kehidupan di Estet' yang dirancang ini, warisan berkenaan mungkin lenyap dalam tempoh satu generasi, maka kita mesti memeliharanya sewaktu estet ini masih 'bernyawa'," katanya ketika berucap pada Program Pembangunan Kampung Fatimah, Banting sebagai Perkampungan Warisan Budaya India, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) Datuk P. Manoharan serta wakil Tourism Selangor, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan India Malaysia (MITTA) serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor.
Kunasikaran berkata pelan pembangunan Kampung Fatimah 2030 akan memberikan peluang kepada pelawat merasai kehidupan masyarakat estet menerusi pelbagai aktiviti seperti memetik bunga, festival makanan, permainan tradisional, memerah susu lembu, aktiviti sungai serta pengalaman bermalam di inap desa dan sesi unggun api.
"Kampung Fatimah yang kini telah berusia lebih 40 tahun akan memanfaatkan keunikan persekitaran semula jadi serta aktiviti kemasyarakatan bagi menawarkan modul pelancongan berasaskan penglibatan secara langsung kepada pengunjung tempatan dan luar negara," katanya.
Beliau berkata kerjasama antara jawatankuasa kampung, agensi pelancongan kerajaan dan pengusaha swasta akan terus dipergiat bagi membangunkan produk pelancongan berkenaan.
Sementara itu, Manoharan menyifatkan usaha menjadikan Kampung Fatimah sebagai perkampungan warisan budaya India itu, satu inisiatif yang mempunyai potensi besar dalam mengetengahkan keunikan kehidupan masyarakat estet sebagai produk pelancongan.
"Selama saya berkhidmat dengan Tourism Malaysia, kali pertama saya mendengar inisiatif rintis seumpama ini bagi kampung estet. Pengalaman hidup di estet ini sangat unik dan tiada di mana-mana kerana saya sendiri berasal daripada kehidupan di estet.
"Tourism Malaysia sedia bekerjasama rapat dengan Tourism Selangor dan pihak berkepentingan industri pelancongan untuk mempakejkan produk berasaskan penglibatan komuniti itu secara komprehensif," katanya.
Beliau berkata laluan perhubungan ke Kampung Fatimah juga mudah dicapai kenderaan pelancong seperti bas dan van, manakala sungai berdekatan dikenal pasti untuk dibangunkan semula sebagai tarikan aktiviti air.
Pembangunan itu, katanya, dijangka membuka peluang ekonomi kepada penduduk setempat menerusi perkhidmatan inap desa dan keusahawanan budaya.
"Menerusi sokongan padu daripada agensi pelancongan negeri dan Persekutuan, Kampung Fatimah kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai model Perkampungan Warisan Budaya India yang unggul di Malaysia menjelang 2030," katanya.
-- BERNAMA