Skip to main content

Bisnes

MATEC perkasa peluang Bumiputera kuasai ekosistem industri automotif

MARA Automotive Ecosystem (MATEC) menjadi platform strategik memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri automotif merangkumi teknologi, penyelenggaraan dan pembuatan.
MARA Automotive Ecosystem (MATEC) menjadi platform strategik memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri automotif merangkumi teknologi, penyelenggaraan dan pembuatan.

Ringkasan AI

  • MARA Automotive Ecosystem (MATEC) menjadi platform strategik memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri automotif merangkumi teknologi, penyelenggaraan dan pembuatan.
  • MATEC 2026 menyasarkan 300,000 pengunjung dan 250 syarikat, dengan penekanan kepada aspek teknologi serta padanan perniagaan antara usahawan dan syarikat berpotensi.
  • MARA memperkukuh sokongan melalui latihan, khidmat nasihat, premis perniagaan dan kerjasama dengan PETRONAS untuk membuka peluang kepada usahawan automotif tempatan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Penganjuran MARA Automotive Ecosystem (MATEC) menjadi platform strategik untuk memperluas penglibatan usahawan Bumiputera dalam industri automotif termasuk bidang teknologi, penyelenggaraan, pengedaran alat ganti serta pembuatan.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Azmi Amat Murjan berkata industri automotif menawarkan peluang ekonomi bernilai tinggi yang perlu dimanfaatkan usahawan Bumiputera menerusi penguasaan tiga aspek utama iaitu perniagaan, pemilikan dan pengeluaran.

Menurutnya, usaha tersebut penting bagi memastikan usahawan Bumiputera bukan sekadar terlibat dalam perniagaan konvensional, sebaliknya mampu menguasai keseluruhan rantaian nilai industri automotif.

Advertisement

"Usahawan MARA berada dalam ketiga-tiga sektor tersebut iaitu perniagaan, pemilikan dan pengeluaran," katanya.

Beliau berkata perubahan industri yang kini dipacu oleh pendigitalan, kecerdasan buatan (AI), kenderaan elektrik (EV) dan mobiliti pintar menuntut pengusaha tempatan meningkatkan keupayaan serta teknologi perniagaan masing-masing.

Advertisement

Jelasnya, pengusaha bengkel automotif juga perlu beralih kepada penggunaan peralatan lebih canggih, sistem pendigitalan dan teknologi diagnostik pintar bagi meningkatkan kecekapan operasi serta meluaskan pasaran.

Sehubungan itu, MATEC berperanan menghubungkan usahawan dengan pemain industri, pelabur dan rakan strategik bagi membuka lebih banyak peluang kerjasama serta pengembangan perniagaan.

Bagi edisi 2026, MATEC menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dengan penyertaan 250 syarikat termasuk syarikat multinasional dan pemain industri antarabangsa.

Azmi berkata penganjuran kali ini memberi penekanan kepada aspek teknologi berbanding fokus terhadap kenderaan elektrik pada edisi sebelumnya, selain menyediakan platform padanan perniagaan antara usahawan dan syarikat berpotensi.

Antara pengisian utama MATEC termasuk pameran automotif, padanan perniagaan, pembangunan usahawan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Dalam pada itu, MARA turut memperkukuh sokongan kepada usahawan menerusi rangkaian latihan, khidmat nasihat, penyediaan premis perniagaan serta program integrasi industri bagi membantu mereka berkembang ke tahap lebih tinggi.

Menerusi kerjasama dengan PETRONAS, MARA juga mempunyai rangkaian 66 PETRONAS AutoExpert dan 15 MotoExpert di seluruh negara bagi membuka peluang kepada usahawan serta pelatih dalam sektor automotif.

"Kita bukan mahu sekadar melahirkan lebih ramai pemilik perniagaan, sebaliknya mahu membina syarikat yang mampu berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan, menguasai teknologi dan bersaing dalam pasaran yang lebih luas," katanya.

Beliau berkata pembangunan ekosistem tersebut bukan sekadar bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan, malah membina syarikat Bumiputera yang mampu berkembang, mewujudkan peluang pekerjaan, menguasai teknologi dan bersaing di pasaran yang lebih luas.

Justeru, tambahnya, MATEC diharap dapat menjadi pemangkin kepada penglibatan lebih besar usahawan Bumiputera dalam industri automotif negara selaras perkembangan teknologi dan perubahan landskap industri global.

Must Watch Video

Advertisement