MALAYSIA
Kampung Mukut jadi perintis ‘Kampung Eko Pintar’ di Malaysia

Sultan Pahang bersama kerabat diraja bergambar bersama pelajar pelayaran yang mengenakan pakaian rasmi baharu sumbangan TM. - Foto TM
KUALA LUMPUR: Kampung Mukut di Pulau Tioman menjadi lokasi perintis bagi program Jangkau Digital Telekom Malaysia Berhad (TM), yang mentransformasi penempatan pesisir pantai ini sebagai ‘Kampung Eko Pintar’ pertama di Malaysia.
Perasmian program disempurnakan oleh Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika lawatan ke kampung tersebut baru-baru ini.
Inisiatif ini menggabungkan ketersambungan digital, pemerkasaan ekonomi, pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan seruan kerajaan untuk memajukan komuniti luar bandar melalui pembangunan mampan serta inklusif.
Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, program ini membina asas kukuh untuk membolehkan komuniti berkembang maju.“Jangkau Digital TM bertujuan memperluas akses digital, membuka peluang ekonomi baharu, memupuk bakat masa hadapan dan melindungi alam sekitar.
“Ia mencerminkan peranan kami sebagai pembina negara, memastikan komuniti paling terpencil turut menjadi sebahagian daripada masa hadapan digital Malaysia,” katanya.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah menandatangani plak peringatan sempena pelancaran rasmi Jangkau Digital TM x Mukut di Kampung Mukut, Tioman. - Gambar TM
Terletak di hujung selatan Pulau Tioman, Kampung Mukut didiami lebih 100 penduduk dan terkenal dengan air laut jernih, hutan hujan subur, air terjun semula jadi serta puncak ikonik Dragon Horns.
Namun, kedudukannya yang terpencil sebelum ini membataskan capaian rangkaian dan infrastruktur asas.
Transformasi yang dibawa TM bermula dengan pemasangan kabel dasar laut sepanjang 75 kilometer dari Kuala Rompin sebagai tulang belakang rangkaian digital Tioman.
Ia disusuli peluasan jalur lebar berkelajuan tinggi dan liputan mudah alih merangkumi penempatan utama serta destinasi pelancongan.
Di Mukut, ketersambungan diperkukuh melalui pemasangan WiFi luar bangunan di lokasi strategik seperti jeti, sekolah, masjid, kedai makan, inap desa dan laluan denai.
TM turut memperkenalkan sistem CCTV Vision AI untuk meningkatkan keselamatan, mengurus aliran pelawat dan menyokong pelancongan bertanggungjawab.
Bagi menggerakkan ekonomi setempat, usahawan pelancongan, inap desa dan perkhidmatan bot disenaraikan di portal visitmukut.com yang dibangunkan TM dengan teknologi AI, dan diintegrasikan bersama aplikasi Unifi Business Go Bookit bagi memudahkan tempahan serta promosi digital.
Dalam pembangunan modal insan, Sekolah Kebangsaan Mukut dipilih sebagai Champion School untuk program TM Future Skills.
Sekolah ini dihubungkan dengan SMK Tekek bagi perkongsian sumber digital dan pembelajaran seperti pengkodan, robotik, percetakan 3D dan kecerdasan buatan serta guru turut dilatih untuk mengintegrasikan kandungan STEM dalam pengajaran.

Sultan Pahang diberi taklimat mengenai program TM Future Skills (TMFS) di SK Mukut. - Gambar TM
Sektor sukan juga mendapat perhatian melalui pembangunan sukan pelayaran, termasuk naik taraf laluan pejalan kaki khas, pembinaan slipway, latihan jurulatih dan penyediaan pakaian rasmi pasukan sekolah.
Bagi kelestarian, TM melaksanakan program perlindungan terumbu karang, pemeliharaan denai hutan hujan, dan memanfaatkan kabel dasar laut sebagai terumbu buatan.
Keselamatan eko-pelancongan pula diperkasa dengan penjejak GPS dan penyelesaian digital bagi laluan mendaki Dragon Horns.
“Apabila pelajar dapat meneroka robotik, usahawan tempatan mampu menembusi pasaran global, dan atlet muda berlatih untuk kejayaan negara sambil mengekalkan kelestarian alam sekitar di situlah terletaknya nilai sebenar transformasi digital,” tambah Amar.
TM merancang memperluas program Jangkau Digital ke pulau-pulau lain dan komuniti luar bandar seluruh negara menjelang 2030, seiring aspirasi menjadi Digital Powerhouse Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami