MALAYSIA
Kampung Parit Seberang di Kuala Pilah terpilih Kampung Angkat Madani KPN

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (kanan) bersama Ketua Polis Negeri Sembilan semasa gimik perasmian pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani di Kuala Pilah hari ini. - Foto Bernama
KUALA PILAH: Kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi menaik taraf kemudahan di Kampung Parit Seberang di sini yang dijadikan Kampung Angkat Madani Ketua Polis Negara 2025.
Ringkasan AI
- Peruntukan RM1 juta untuk naik taraf kampung: Kampung Parit Seberang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani Ketua Polis Negara 2025 dengan peruntukan RM1 juta bagi menaik taraf kemudahan asas seperti surau, jalan raya, balai raya dan pemasangan lampu solar.
- Pemilihan berdasarkan keperluan dan nilai sentimental: Pemilihan kampung ini dibuat berdasarkan tahap kemudahan yang rendah serta hubungan peribadi Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, kerana ibunya berasal dari kampung tersebut.
- Manfaat kepada komuniti: Program ini dijangka meningkatkan kesejahteraan penduduk dan keselamatan kampung melalui kerjasama pelbagai agensi serta rondaan polis yang lebih kerap.
"Suka saya kongsikan di sini, sebanyak RM1 juta diperuntukkan menerusi Kementerian Kewangan bagi membiayai keseluruhan inisiatif menaik taraf kampung ini, tambahan pula ibu saya berasal dari sini.
"Selain merapatkan jurang kemudahan asas antara desa dan bandar, program ini menyediakan perkhidmatan kemasyarakatan yang terbaik melalui kerjasama kementerian, jabatan, agensi dan universiti awam," katanya ketika berucap pada Program Keharmonian Masyarakat Kampung Angkat Madani 2025 Ketua Polis Negara di sini hari ini.
Hadir sama Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Razarudin berkata antara projek yang dicadangkan ialah penambahbaikan bangunan, landskap dan pagar Surau Kampung Parit Seberang, membaik pulih serta penurapan jalan raya, pembaikan Balai Raya Kampung Parit Seberang dan pemasangan 20 lampu solar di sekitar jalan kampung berkenaan.
Beliau berkata kerja menaik taraf ini dipantau oleh JPJKK Bukit Aman serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah dan diharapkan penambahbaikan ini dapat berjalan dengan tatakelola lebih baik.
"Besar harapan saya agar usaha kerajaan ini akan dimanfaatkan dengan sebaiknya demi keselesaan dan kesejahteraan komuniti setempat," katanya.
Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Parit Seberang Hasnan Abd Malek, 55, berterima kasih kepada kerajaan kerana memilih kampung itu sebagai Kampung Angkat Madani Ketua Polis Negara.
"Pemilihan ini satu kelebihan bagi menyasarkan sifar jenayah. Alhamdulillah, ia dapat memberi banyak manfaat kepada penduduk kampung terutama dalam aspek keselamatan, setiap hari pasti ada polis membuat rondaan di kampung ini," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami