Astro AWANI ingin menjelaskan bahawa terdapat ralat dalam laporan berkaitan kenyataan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Dewan Rakyat hari ini berhubung BUDI95.
Laporan berkenaan mungkin telah memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengumumkan pelarasan baharu had kelayakan BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan.
Kenyataan beliau sebenarnya merujuk kepada justifikasi langkah kerajaan yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang meminta kerajaan menyatakan justifikasi pengurangan kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebelum dinaikkan semula mulai 1 September 2026, serta jumlah sebenar penjimatan subsidi bahan api sepanjang tahun ini.
Dalam jawapannya, Menteri Kewangan II menjelaskan bahawa pelarasan kepada 200 liter ketika itu dibuat susulan ketidaktentuan bekalan global akibat konflik di Asia Barat, peningkatan mendadak kos subsidi bahan api serta berdasarkan analisis data penggunaan sebenar yang menunjukkan kurang daripada satu peratus pengguna BUDI95 menggunakan lebih 200 liter RON95 sebulan secara konsisten.
Astro AWANI memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku.