TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh daripada jambatan ke dalam Sungai Tawau di Kampung Jawa Lanut di sini hari ini.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.45 petang tadi.

"Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Alif Amuddin dengan menyusuri sungai pada jarak dua kilometer radius pencarian dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

"Turut bersama dalam operasi mencari itu ialah pasukan polis serta penduduk kampung," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan setakat petang ini kanak-kanak berkenaan belum ditemukan manakala operasi SAR ditangguh pada 6.05 petang tadi dan akan bersambung esok.

-- BERNAMA