KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas di sebuah kolam tadahan banjir di Petaling Jaya, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP ACP Shahrulnizam Jaafar@Ismail berkata mangsa ditemukan oleh orang awam yang sedang memancing pada kira-kira 7 malam.

 “Mangsa dijumpai di tengah tasik atau kolam tadahan banjir oleh pemancing. Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya,” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, seorang wanita dikenali sebagai Nur Hidayati dalam hantaran di laman Facebook memohon bantuan orang ramai untuk mengesan anak lelakinya yang dipercayai hilang pada 4 petang Selasa.

“Saya mohon bantuan. Anak saya umur 6 tahun hilang di Taman Aman, Petaling Jaya sekitar jam 4 tadi. Masih cari tak jumpa. Jika ada nampak mohon hubungi saya 013-405 9569 kerana anak saya autisme,” katanya.

-- BERNAMA