Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia setelah ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta bapanya di kawasan letak kereta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang dekat sini hari ini.

Mangsa, Muhammad Aqil Arfan Adnan dipercayai terperangkap lebih lapan jam dalam kereta Perodua Viva, sebelum ditemui bapanya Adnan Salleh, 40-an, yang merupakan guru agama sekolah itu pada 4 petang tadi, selepas habis waktu bekerja.

Difahamkan, mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Kuala Nerang, namun disahkan telah meninggal dunia.

Saudara mangsa, Soaid Adam, 45, berkata Adnan sepatutnya menghantar anaknya itu ke tadika yang terletak kira-kira 150 meter dari tempatnya mengajar terlebih dahulu.

Bagaimanapun dia dipercayai terlupa berbuat demikian dan tidak menyedari bahawa anak bongsu daripada empat beradik itu sedang tidur di kerusi penumpang bahagian belakang kereta itu, katanya.

Soaid berkata biasanya Adnan bersama isterinya, Asiah Abu, 30-an, yang merupakan seorang guru di SMK Dato Syed Ahmad, Kuala Nerang dan anak mereka keluar dari rumah mereka di Kampung Padang Durian, Pendang kira-kira 6.45 pagi.

"Selalunya Adnan akan melalui jalan Pokok Sena kemudian dia akan hantar anaknya dahulu ke tadika, selepas itu dia akan hantar isterinya ke SMK Dato Syed Ahmad dan kemudian dia akan ke SMK Kuala Nerang.

"Tetapi hari ini, dia melalui jalan Naka kemudian menghantar isterinya dahulu lalu terus ke SMK Kuala Nerang, dia mungkin terlupa untuk hantar anaknya ke tadika," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Soaid berkata dia sangat terkejut apabila Adnan memaklumkan mengenai insiden itu kepadanya kira-kira 7.30 malam tadi dan tidak menyangka ia akan menimpa keluarga mereka.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, ACP Nashir Ya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Beliau berkata punca kejadian masih belum dikenal pasti.