TANJUNG KLING: Seorang kanak-kanak lelaki lemas manakala rakannya masih tidak ditemui dalam kejadian di tali air di Kampung Gelam, Tanjung Kling Melaka, petang Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa maut, Muhammad Fakrullah Rozami, 9, ditemukan ayahnya sendiri yang cuba menyelamatkan kanak-kanak itu di kawasan tali air sedalam 1.2 meter itu.

Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya hanya menerima panggilan daripada orang awam pada jam 8.46 malam sebelum sepasukan pegawai dan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Berdasarkan maklumat awal yang diterima, tiga kanak-kanak lelaki yang kesemuanya berusia 9 tahun bermain di kawasan tali air yang terletak kira-kira 1.6 kilometer dari kediaman mereka.

Keseronokan itu bagaimanapun bertukar tragedi apabila salah seorang mangsa disahkan lemas manakala pasangan kembarnya sempat menyelamatkan diri dan seorang lagi rakan mereka pula gagal dikesan sehingga kini.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini digiatkan di kawasan tali air tersebut serta pencarian di darat dalam radius kira-kira 2 kilometer dari lokasi kejadian.

"Kami dimaklumkan pada peringkat awal, mangsa mandi bersama namun didapati kanak-kanak itu tiada dalam air dan cuba melarikan diri.

"Jadi pencarian pasukan penyelamat kini tertumpu di darat.

"Ketika ini 20 anggota bomba dan empat anggota polis dibantu oleh penduduk kampung sedang lakukan pencarian untuk kanak-kanak yang masih hilang itu," katanya.

Mengulas lanjut ujarnya, kanak-kanak yang maut itu ditemui oleh bapanya sendiri di kawasan tali air dalam keadaan kakinya terbelit dengan tali plastik dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan sebelum dihantar ke Hospital Melaka.

Katanya, fokus utama operasi SAR kini adalah bagi mengesan seorang lagi mangsa di kawasan sekitar dan seramai 20 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi berkenaan.