Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak lima tahun maut nahas di Jalan Kuching, pemandu BYD berjaya dikesan polis

Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kenderaan dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lepas. - Foto Threads@radzi.jidin
Seorang kanak-kanak perempuan maut selepas kenderaan dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, Sabtu lepas. - Foto [email protected]

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut selepas kenderaan dinaiki bersama bapanya dirempuh dari belakang dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Kuching, di sini, Sabtu lepas.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.44 petang itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang belakang sebuah Perodua Bezza disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata kemalangan membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal dari arah Pusat Bandar menghala ke Segambut.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika aliran trafik bergerak perlahan, Perodua Bezza yang dipandu lelaki tempatan berusia 30 tahun dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta jenis BYD Seal.

"Pelanggaran itu turut membabitkan sebuah motosikal sebelum Perodua Bezza berkenaan berpusing ke lorong kanan lalu merempuh tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

"Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Bezza mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala. 

"Kedua-dua mereka menerima rawatan di HKL," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, pemandu Toyota Alphard berusia 37 tahun dan pemandu Perodua Myvi berumur 30 tahun dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mengulas lanjut, Mohd Zamzuri berkata, pemandu BYD Seal iaitu lelaki berusia 24 tahun yang meninggalkan lokasi kejadian selepas kemalangan berjaya dikesan oleh pihak polis.

"Lelaki berkenaan kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat mengalami gegaran otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.

Orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Must Watch Video

Advertisement