Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kampung Permatang Kong, Jalan Gunung Keriang, di sini malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika kanak-kanak terbabit, Mohd Nasrul Muaffi Zulkifli, 10, berjalan seorang diri untuk ke kedai yang terletak berdekatan surau sejurus selepas menunaikan solat Maghrib.

Sebuah kereta yang menuju ke arah Jitra yang dipercayai dipandu laju gagal mengelak dan melanggar pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Muda itu ketika dia melintas.

Pemandu kereta berkenaan melaporkan kejadian di Balai Polis Jitra.

Menurut bapa mangsa, Zulkifli Mustafa, 43, anak ketiga daripada enam beradik itu sering ke surau yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya untuk menunaikan solat Maghrib dan Isyak.

Bagaimanapun, malam tadi, Nasrul yang selesai menunaikan solat Maghrib telah pergi ke kedai untuk membeli gula-gula sementara menunggu waktu Isyak.

Zulkifli berkata dia bergegas ke tempat kejadian sejurus dimaklumkan akan kemalangan yang menimpa anaknya itu oleh penduduk kampung.

Setibanya di situ, anaknya didapati tidak sedarkan diri tetapi masih bernyawa.

Dia lantas membawa Mohd Nasrul ke hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan doktor bahawa anaknya telah meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan akibat pelanggaran itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Md Jan dalam pada itu mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurut beliau, kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.