KEMAMAN: Seorang kanak-kanak perempuan nyaris maut apabila dihanyutkan ombak besar ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Penunjuk Kijal, Kemaman.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang Jumaat, itu mangsa berusia 12 tahun dilihat terkapai-kapai meminta tolong selepas dipukul ombak.

Mangsa kemudiannya diselamatkan oleh ahli keluarga dan orang ramai.

Komander operasi, Sabari Taib berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Kijal menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada orang awam kira-kira jam 5.44 petang dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

Katanya ketika bomba tiba di lokasi mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.