KUANTAN: Seorang kanak-kanak perempuan maut dipercayai akibat lemas selepas dihanyutkan arus semasa mandi di Sungai Mas, Sungai Lembing, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata, mangsa Nur Syakirah Shahrizan, 12, dipercayai lemas sekitar 10.15 pagi, sebaik sahaja dia bersama dua adik lelakinya turun ke sungai, sebelum mayatnya ditemukan 10 minit kemudian.

Mangsa yang tinggal di Inderapura di sini, lebih 40 kilometer dari Sungai Lembing, difahamkan bertolak ke sungai tersebut bersama ibu bapa dan lima adik-beradiknya untuk berkelah sekitar 8.30 pagi tadi.

"Mangsa dan dua adiknya dikatakan tenggelam sebaik sahaja turun ke sungai dan bapa mereka bergegas menyelamatkan mereka, namun hanya sempat menarik dua adiknya manakala mangsa dihanyutkan arus.

"Orang awam dan penduduk kampung yang berada di situ juga cuba membantu sebelum mereka menemukan mayat mangsa dan menyerahkannya kepada bapa mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamad Noor berkata bapa mangsa yang juga seorang guru telah membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Sungai Lembing namun Nur Syakirah disahkan telah meninggal dunia.

Jenazah mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, untuk bedah siasat

Sementara itu, dalam kes berasingan, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mayat Mohd Hakim Faqih Norazmi yang disyaki lemas di Sungai Pahang, Kampung Loyang di Temerloh kira-kira 141 kilometer dari sini, seminggu lepas ditemukan hari ini.

Ismail berkata, mayat Mohd Hakim Faqih ditemukan tersangkut pada bahagian sangkar ikan pada 12.45 tengah hari, kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir dia dilihat dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Mohd Hakim Faqih disyaki lemas pada 14 Mac lepas selepas didakwa dihanyutkan arus semasa mahu menyelamatkan anak saudaranya, Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 8, yang hanyut semasa mereka mandi di sungai tersebut.

Bagaimanapun, mayat Mohammad Naufal Farhan telah ditemukan pada 10.33 pagi, sehari selepas kejadian (15 Mac). - BERNAMA