KOTA BHARU: Seorang kanak-kanak dipercayai berusia dalam lingkungan lima tahun tercampak keluar apabila pintu kereta dinaikinya terbuka ketika kenderaan itu membuat pusingan U di kawasan lampu isyarat depan Kota Sri Mutiara, Jalan Sultan Yahya Petra, di sini semalam.

Dalam rakaman video kamera papan pemuka yang tular, kanak-kanak itu kemudian dilihat dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), namun dipercayai tidak mengalami kecederaan yang serius.

Dia dilihat bangun selepas dilanggar dan menghampiri penunggang motosikal yang berada di kawasan berkenaan. Penunggang motosikal itu segera mendukungnya sebelum membawa kanak-kanak itu ke tempat selamat.

Susulan kejadian itu, polis kini mengesan pemilik kereta terbabit untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata pihaknya percaya kejadian itu berlaku disebabkan kegagalan pemandu memastikan pintu ditutup dengan kemas selain memastikan kanak-kanak itu memakai tali pinggang keledar.

"Siasatan berkaitan kemalangan ini dijalankan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu, pemandu kenderaan terlibat dan perakam video berkaitan diminta tampil bagi membantu siasatan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Khairul Anuar Abdul Aziz di talian 09–7752355," katanya.