Kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang dilaporkan hilang di pantai Bagan Pinang di sini semalam, dijumpai mati lemas malam tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson Mustafa Ahmad berkata mayat G. Shasikumar, ditemui pada pukul 11.30 malam di pantai itu oleh pasukan bomba serta polis yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak pukul 7.30 malam.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Port Dickson untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam kejadian itu, kanak-kanak berkenaan didapati hilang ketika berkelah bersama keluarganya di pantai Bagan Pinang dekat sini.

Bapa mangsa, S. Ganesan, 35, dari Cheras, Selangor, dilaporkan berkata dia menyedari anaknya hilang pada pukul 5.30 petang ketika dia dan anggota keluarga yang lain selesai mandi laut.