MALAYSIA
Kanak-kanak Rohingya ditemukan lemas enam kilometer dari lokasi dilaporkan hilang

Mohd Azam berkata mayat kanak-kanak berumur 10 tahun itu ditemukan di Sungai Kerayong Taman Cheras Indah, kira-kira enam kilometer dari lokasi dilaporkan terjatuh. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan warga Rohingya yang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras air longkang berhampiran Dewan MPAJ Kampung Cheras Baru, Ampang malam tadi, ditemukan lemas pagi ini.
Ringkasan AI
- Penemuan mayat kanak-kanak Rohingya: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang dihanyutkan arus deras di Ampang ditemukan lemas pagi ini di Sungai Kerayong, kira-kira enam kilometer dari lokasi kejadian.
- Usaha pencarian dan penyelamatan: Operasi mencari mangsa melibatkan 11 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur serta anggota penyelamat dari Balai Bomba Cheras dan Bandar Tun Razak.
- Kronologi kejadian: Mangsa bersama seorang lagi kanak-kanak berusia 11 tahun terjatuh ke dalam longkang pada petang 19 Mei.
Sementara itu Komander Operasi Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Mohamad Riduan Akhyar berkata mayat itu ditemukan tersangkut di tebing sungai dan telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata terdahulu 11 anggota PPDA Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur bersama anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras serta Bandar Tun Razak menyambung operasi pencarian mangsa pada kira-kira 9 pagi tadi.
Semalam media melaporkan polis menerima laporan mengenai Nur Aida Nur Muhammad bersama seorang lagi kanak-kanak juga berumur berumur 11 tahun jatuh ke dalam longkang itu pada 6.07 petang.
Kanak-kanak itu bagaimanapun berjaya diselamatkan oleh orang awam, manakala Nur Aida terus hilang selepas dihanyutkan arus deras air longkang.
Difahamkan kedua-dua kanak-kanak itu dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah semasa kejadian.
Sementara itu bapa Nur Aida, Tufail Ahmad, 36, melahirkan rasa terkilan kerana tidak sempat menunaikan hasrat anaknya untuk bercuti bersama keluarga.
Beliau berkata anak sulung daripada empat beradik itu sering meminta untuk bercuti bersama keluarga, namun permintaannya tidak sempat ditunaikan kerana terikat dengan kesibukan kerja.
"Beberapa hari sebelum kejadian, dia ada cakap nak jalan-jalan.. Saya janji nak bawa, tapi tidak sempat.. Sekarang saya rasa sangat terkilan," katanya sebak ketika ditemui Bernama hari ini.
Beliau berkata walaupun reda namun kehilangan anaknya amat dirasai kerana sifat rajin anaknya yang sering membantu ibunya yang kini berpantang anak keempat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami