Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] Jaslinda ditemui selamat oleh Orang Asli, kini di rumah tok batin - Bomba 

https://www.sinarharian.com.my/article/782702/berita/semasa/jaslinda-sudah-ditemui---polis
Mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu. - Gambar/ Media sosial

IPOH: Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika mendaki Gunung Batu Putih, dekat Tapah sejak 24 Mei lepas berjaya ditemukan dalam keadaan selamat berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Datuk Sayani Saidon berkata mangsa ditemukan oleh seorang penduduk, Nazri Bah Eng, kira-kira 3 petang.

“Selepas menjumpai mangsa, beliau telah memaklumkan perkara tersebut kepada anak saudaranya yang berada di Johor untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sayani berkata mangsa kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan sementara di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu.

“Setakat ini, orang hilang (OH) berada di rumah Tok Batin Kampung Lubuk Gaharu sementara tindakan lanjut sedang diuruskan pihak berkaitan,” katanya.

Sebelum ini, pendaki wanita itu dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei melalui laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement