KUALA LUMPUR: Kerajaan tiada pilihan selain mengambil alih syarikat yang bertanggungjawab terhadap projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) sebagai anak syarikat kepada Kementerian Kewangan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana terdapat projek-projek yang perlu diselesaikan termasuk LCS.

"Kenyataan lengkap akan dikeluarkan kerana ada projek-projek yang sedang berlangsung dan mesti diselesaikan termasuk LCS.

"Kita tiada pilihan dan dah belanja RM6 bilion, kita tak boleh tutup (menghentikan). Kita kena ambil alih (BNS) untuk menyelesaikan projek," kata Perdana Menteri di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 kali ke-40 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Pada Jumaat, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Kementerian Kewangan telah menubuhkan syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mengambil alih syarikat yang BNS sebagai anak syarikat kepada kementerian itu.

Beliau berkata bagaimanapun, pelaksanaan projek LCS tetap akan dipantau melalui Jawatankuasa Pemantauan Projek (PMC) yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Media sebelum ini melaporkan LCS pertama yang dijadual siap tahun depan, dijangka hanya mula beroperasi sekitar 2026 kerana perlu menjalani beberapa ujian dan penilaian terlebih dahulu.

Ini kerana menurut Mohamad, selepas pembinaan LCS itu siap dibina di limbungan, ia perlu menjalani dua ujian, iaitu ujian penilaian di pelabuhan dan ujian penilaian di laut, yang mengambil tempoh antara 22 hingga 24 bulan.

Isu berkenaan kapal perang berkenaan menjadi pendebatan hangat selepas Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) melaporkan terdapat elemen kelemahan dan penyelewengan dalam projek itu.

Pengerusi PAC ketika itu, Wong Kah Woh berkata, BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran daripada kerajaan untuk projek tersebut.