Wan Azizah
Dr Wan Azizah antara hadirin yang memberikan penghormatan terakhir di kediaman Karpal di Jalan Utama, George Town pagi tadi.

GEORGE TOWN: Malaysia kehilangan seorang warganya yang telah menyumbang seluruh hayatnya untuk membela keadilan, kata Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai mengulas pemergian peguam terhormat yang juga veteran DAP, Karpal Singh.

"Kita harus menyambung perjuangannya sekarang," kata beliau kepada pemberita selepas memberikan penghormatan akhir kepada Karpal di kediamannya di sini, petang tadi.

Wan Azizah yang jelas nampak kehilangan kata-kata menyifatkan keluarganya terhutang budi kepada Karpal yang memberikan khidmat guaman kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Malah Wan Azizah memberitahu khidmat guaman tersebut diberikan tanpa sebarang bayaran satu sen pun.


Beliau juga terharu apabila mendapat tahu Karpal membawa fail-fail berkaitan kes tuduhan liwat yang dihadapi oleh Anwar untuk membuat persiapan rayuan ke Mahkamah Persekutuan.

"Itulah sebab saya terkilan bahawa dia terpaksa pergi," katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyifatkan Karpal sebagai seorang yang sungguh berdedikasi dalam tugasnya baik sebagai peguam mahupun sebagai wakil rakyat.

Beliau juga mengakui secara peribadi terasa kehilangan dan berdukacita dengan pemergian mengejut pemimpin kanan DAP itu.

Wan Azizah dan Menteri Besar Kelantan adalah antara hadirin yang memberikan penghormatan terakhir di kediaman Karpal di Jalan Utama sebelum upacara penghormatan negeri di Dewan Sri Pinang, pagi Ahad.

Keranda yang membawa mayat mendiang Karpal akan dibawa berarak melalui empat lokasi yang menjadi penanda hayat beliau iaitu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, firma guamannya, Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan sekolahnya, St. Xavier Institution.

Mayat mendiang kemudian akan disempurnakan di krematorium Batu Gantung.

Karpal terbunuh dalam satu nahas jalan raya di Lebuh Raya Utara Selatan dekat Gua Tempurung awal pagi Khamis. Kemalangan itu turut meragut nyawa pembantunya, Michael Cornolius.