COPENHAGEN: Tiga individu ditahan selepas cuba meletakkan diri pada karya Edvard Munch 'The Scream' di sebuah muzium di Oslo pada Jumaat.

Menurut polis, ketiga-tiga mereka merupakan aktivis iklim dan ditahan di Muzium Kebangsaan Norway.

Susulan kejadian, bilik di mana terletaknya karya tersebut telah dikosongkan dan akan dibuka semula dalam masa terdekat.

Tiada kerosakan dilaporkan pada karya yang dihasilkan pada tahun 1893 itu kerana ia dilindungi oleh cermin.

Kumpulan aktivis alam sekitar dari Norway, Stopp Oljeletinga mengaku telah merancang tindakan itu kerana ingin mendesak para pemimpin untuk hentikan penggalian minyak di negara itu.

"Kami ingin berkempen menggunakan 'Scream' kerana ia merupakan karya paling terkenal Norway," kata jurucakap kumpulan itu, Astrid Rem kepada The Associated Press.

Ini bukan kali pertama karya terkenal digunakan para aktivis bagi mengetengahkan isu yang diperjuangkan.

Bulan lepas, dua aktivis Belgium dipenjara dua bulan kerana cuba merosakkan karya Johannes Vermeer 'Girl with a Pearl Earring' di sebuah muzium di Holland.

Tiada kerosakan dilaporkan pada karya tersebut dan ia dikembalikan pada kedudukannya di muzium tersebut sehari kemudian.

Awal bulan ini aktivits iklim membaling kentang lecek ke arah karya Claude Monet di sebuah muzium di Jerman.

Di London pula kumpulan penunjuk perasaan membaling sup ke arah karya Vincent van Gogh 'Sunflowers' di The National Gallery.

Kedua-dua karya tersebut dilaporkan tidak mengalami apa-apa kerosakan.