KUALA LUMPUR: Karya seni 16 arkitek profesional, termasuk beberapa tokoh legenda seni bina negara, bakal dihimpunkan menerusi pameran julung kali Art by Architects – Beyond Blueprints di ibu negara.
Pameran itu menghimpunkan arkitek daripada empat generasi, sekali gus memberi peluang kepada masyarakat mengenali sisi berbeza golongan berkenaan yang lazimnya berkarya di belakang tabir.
Antara tokoh yang mengambil bahagian ialah Profesor Emeritus Ar. Hijjas Kasturi, Datuk Ar. Hajeedar Majid, Presiden Lembaga Arkitek Malaysia, Datuk Ar. IDr. Azman Md Hashim, Ar. Malek Hassan, Ar. Anand Krishnan, Ar. Alan Teh dan ramai lagi.
Mantan Presiden Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM), Profesor Adjung Ar. Adrianta Aziz berkata, pengunjung dapat melihat bagaimana latar belakang, pendidikan dan pengalaman setiap arkitek mempengaruhi proses serta cara mereka menghasilkan karya seni.
“Orang ramai akan dapat melihat bahawa ada arkitek yang mencari idea melalui lakaran, kartun, model atau alam semula jadi.
“Daripada situ, mereka dapat memahami bagaimana seseorang arkitek menterjemahkan seni dan imaginasi kepada reka bentuk sesebuah bangunan,” katanya dalam program AWANI Pagi pada Jumaat.
Adrianta berkata, meskipun karya setiap generasi memperlihatkan pendekatan berbeza, kesemuanya masih berkongsi landasan sama dalam mencorakkan identiti seni bina Malaysia.
“Arkitek sebelum merdeka dan arkitek generasi terkini mungkin kelihatan berbeza, tetapi kita masih boleh merasakan jiwa yang sama.
“Keindahan pameran ini terletak pada proses reka bentuk kerana seni itu ialah jiwa, manakala seni bina diterjemahkan melalui elemen dan prinsip,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah KL City Art Gallery, Maizon Omar berkata, perbezaan zaman turut mempengaruhi gaya dan pemikiran arkitek yang mengambil bahagian.
Jelasnya, generasi terdahulu lebih terkawal dalam menampilkan karya, manakala generasi baharu lebih terbuka, berani serta dipengaruhi akses maklumat yang luas.
Karya generasi semasa juga lebih banyak memberikan respons terhadap isu masyarakat dan persekitaran, termasuk kelestarian serta pembangunan bandar hijau.
Pameran itu tidak mengehadkan penggunaan medium dan akan menampilkan pelbagai bentuk karya termasuk abstrak, realisme, lakaran, kartun, model serta arca.
Adrianta sendiri akan mempamerkan 10 karya lakaran dan sebuah arca.
Art by Architects – Beyond Blueprints berlangsung dari 26 Julai hingga 9 Ogos 2026 di KL City Art Gallery, Publika Shopping Gallery, Solaris Dutamas.
Galeri dibuka dari pukul 11 pagi hingga 6.30 petang dan pengunjung turut berpeluang berinteraksi dengan arkitek-seniman yang mengambil bahagian.
Temu bual penuh boleh ditonton menerusi AWANI Pagi di YouTube.