Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas senjata api tiruan -- enam pucuk pistol dan empat laras senapang -- yang ditemui dalam lima kotak bungkusan yang dikirim dari Amerika Syarikat di kawasan kargo Zon Perdagangan Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini semalam.

Pengarah Kastam KLIA Datuk Chik Omar Chik Lim berkata bungkusan mengandungi senjata api tiruan itu tiba di Malaysia dua hari lepas menggunakan khidmat syarikat penghantaran ekspres FedEx.

"Kami menemui senjata api tiruan itu yang diletakkan di dalam lima kotak bungkusan berasingan bersama aksesori seperti ball bearing, gas power serta peluru dalam pemeriksaan di kawasan kargo itu pada 11.30 pagi semalam," katanya.

Chik Omar berkata alamat serta nama penerima di kotak itu merupakan seorang lelaki yang menggunakan alamat yang tidak wujud di Lembah Klang.

"Sebelum kastam menemui senjata itu, FedEx menerima e-mel daripada individu yang mendakwa penerima barang tersebut dan memaklumkan barang itu bukan kepunyaannya kerana penghantar tersalah hantar," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Chik Omar berkata pihak kastam turut cuba menghubungi nombor telefon yang tertera di bungkusan itu namun gagal.

Pihaknya percaya individu berkenaan menghantar e-mel tersebut selepas mengetahui bungkusan senjata tiruan itu telah dikesan pihak berkuasa.

"Kita percaya ini bukan kali pertama individu tersebut menggunakan perkhidmatan kurier untuk menghantar barang terlarang," katanya, sambil menambah bungkusan senjata tiruan itu diisytiharkan sebagai peralatan.

Enam pucuk pistol yang ditemui itu ialah dua daripada jenis Colt dan masing-masing satu Beretta, Beeman, Airgun dan Glock berharga USD250 setiap satu manakala tiga senapang jenis Rifle pula berharga USD300 setiap satu, katanya.

Chik Omar berkata siasatan lanjut bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih diteruskan bagi mengesan pemilik senjata itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu mengimport barang larangan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda maksima 10 kali ganda nilai barang atau tiga tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Dalam perkembangan lain, Chik Omar berkata seorang lelaki warga Kenya berumur 32 tahun ditahan reman tujuh hari selepas dikesan membawa dadah jenis Methamphetamine seberat 4.48 kg bernilai RM851,200 di Lapangan Terbang Antarabangsa KL2 (klia2) dua hari lepas.

"Lelaki yang menaiki penerbangan dari Hong Kong itu menyorokkan dadah tersebut dalam ruang khas bahagian bawah bagasi," katanya.