KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur menumpaskan aktiviti penyimpanan dan penjualan rokok putih serta minuman keras tidak berkastam bernilai RM1.95 juta menerusi dua operasi khas di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Pengarah JKDM Kuala Lumpur Wan Norizan Wan Daud berkata operasi yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan menerusi Ops Tembok Besar dan Ops Akur pada Julai serta Ogos lepas merekodkan nilai rampasan barangan RM677,625.78, manakala jumlah anggaran duti dan cukai terlibat bernilai RM1,273,049.18.
Beliau berkata sebanyak 38 kertas siasatan dibuka dan sejumlah 38 Orang Yang Disyaki (OYDS) ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Wan Norizan berkata Ops Tembok Besar yang dilaksanakan di 40 premis antaranya di Cheras dan Balakong pada 27 hingga 31 Julai menyasarkan aktiviti penyimpanan serta penjualan rokok putih dan minuman keras tidak berkastam.
"Hasil pemeriksaan terhadap premis terlibat, pasukan operasi merampas barangan bernilai RM256,121.62 dengan anggaran duti dan cukai sebanyak RM350,936.54, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM607,058.16.
"Sebanyak 18 kertas siasatan dibuka dan 16 individu berumur antara 20-an hingga 50-an ditahan melibatkan 11 warga tempatan serta lima warga asing, masing-masing lima lelaki dan 11 wanita," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan mendapati modus operandi digunakan ialah memasarkan barangan tidak berkastam menerusi restoran dan kedai serbaneka kepada pelanggan dikenali.
Wan Norizan berkata Ops Akur yang dilaksanakan di 35 premis antaranya di Bukit Beruntung dan Bukit Bintang pada 10 hingga 14 Ogos pula menumpukan penguatkuasaan Lesen Rumah Awam (LRA) dan penjualan minuman keras tidak berkastam di pusat hiburan serta stor penyulingan haram.
"Nilai rampasan barangan bagi Ops Akur dianggarkan RM421,504.16 dengan duti dan cukai berjumlah RM922,112.64, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM1,343,616.80.
"Sebanyak 20 kertas siasatan dibuka. Sejumlah 22 individu ditahan, iaitu 19 lelaki dan tiga wanita berumur 20-an hingga 40-an terdiri daripada pekerja premis, merangkumi 11 warga tempatan dan 11 warga asing," katanya.
Beliau berkata siasatan mendapati modus operandi digunakan adalah dengan menyimpan stok minuman keras di premis berasingan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, selain menjualnya pada harga lebih murah daripada pasaran.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. Bagi aktiviti penyulingan, penapaian atau pengilangan haram, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 74(1)(f) Akta Eksais 1976,” katanya.
Wan Norizan menyeru orang ramai untuk terus membantu membanteras jenayah penyeludupan dengan menyalurkan maklumat menerusi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke pejabat JKDM terdekat dan identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan sepenuhnya.
-- BERNAMA