Kaunselor terlatih termasuk sukarelawan wajib berdaftar dengan LKM - Nancy

Nancy berkata, KPWKM dan LKM membuat ketetapan itu supaya kaunseling diberikan lebih inklusif serta berimpak tinggi khususnya bagi golongan rentan dan luar bandar. - Bernama
KUALA LUMPUR: Semua kaunselor terlatih termasuk sukarelawan wajib berdaftar dengan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) sebelum menawarkan perkhidmatan kaunseling, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau berkata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LKM membuat ketetapan itu supaya kaunseling diberikan lebih inklusif serta berimpak tinggi khususnya bagi golongan rentan dan luar bandar.
Nancy berkata sehingga Ogos lepas, terdapat 12,583 kaunselor berdaftar di Malaysia.
"Melalui Dasar dan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kaunseling Negara 2025-2035 yang sedang digubal, LKM tekad memastikan profesion ini kekal relevan, beretika dan berpaksikan nilai kemanusiaan," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian penutupan Sambutan Bulan Kaunseling Kebangsaan 2025 di sini hari ini.
Nancy berkata KPWKM komited memperkukuh peranan Sukarelawan Kaunselor Berdaftar (SKB) sebagai wira lapangan yang menyantuni masyarakat melalui Talian Kasih 15999 dan pelbagai program komuniti.
Selain itu, Nancy berkata sehingga September lepas, lebih 9,700 kes berjaya ditangani termasuk bantuan awal psikologi kepada mangsa kemalangan melibatkan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada Jun lepas, yang mencerminkan nilai sebenar empati dan kemanusiaan.
"Melalui kempen Awak OK Tak? Jom Kongsi! kita juga mengajak rakyat Malaysia lebih terbuka berkongsi perasaan.
"Kadang-kadang, satu soalan kecil boleh memberi harapan besar kepada seseorang yang sedang bergelut. 'Awak OK Tak?' bukan sekadar pertanyaan, tetapi tanda kita peduli (dan) mereka tidak berseorangan," katanya.
Sementara itu, Presiden LKM Datin Dr Ruhani Mat Min berkata pihaknya telah melancarkan portal MyeLKM iaitu pangkalan data mengenai kaunselor berdaftar dengan LKM.
Sistem pangkalan data itu bertujuan memudahkan orang awam mendapatkan perkhidmatan kaunseling serta menyemak pentauliahan pengamal termasuk nombor pendaftaran dan kawasan operasi.
"Kaunselor yang menawarkan khidmat kaunseling wajib berdaftar dengan LKM sekali seumur hidup dan memperbaharui lesen setiap dua tahun sekali bagi memastikan profesionalisme sebagai seorang kaunselor bertauliah.
"Buat masa ini orang awam boleh menggunakan portal MyeLKM untuk proses penyemakan dengan aplikasi mudah alih akan dilancarkan pada Januari 2026," katanya.
Oktober diisytiharkan sebagai Bulan Kaunseling Kebangsaan bersempena Hari Kesihatan Mental Sedunia sejak 2016, yang menjadi wadah penting meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental serta memperkukuh profesion kaunseling sebagai barisan hadapan kesejahteraan rakyat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


