NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 722.9 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM42.8 juta menerusi empat operasi berasingan di Selangor pada Julai lepas.
Ketua Pengarah JKDM Datuk Seri Amran Ahmad berkata rampasan membabitkan dadah jenis bunga kanabis seberat 212 kg, ketamin (505.6 kg), methylenedioxyamphetamine atau MDMA (3.3 kg) dan methamphetamine (2 kg) yang dipercayai untuk dihantar ke pasaran Eropah.
Beliau berkata dalam operasi pertama, pihaknya merampas 197 bungkusan lut sinar mengandungi bunga kanabis seberat 51.4 kg bernilai kira-kira RM4.11 juta di sebuah gudang di Meru, Klang pada 7 Julai.
“Dadah itu disembunyikan di dalam kotak dagangan bercampur dengan pes cili, lampin pakai buang dan makanan kering.
"Operasi kedua di sebuah rumah di Bandar Botanic Klang pada 8 Julai pula menemukan 153 bungkusan dadah jenis sama," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata lima suspek ditahan menerusi operasi itu namun hanya seorang sahaja didakwa atas pertuduhan mengedar dadah.
Amran berkata operasi khas terhadap satu bungkusan di Hab Antarabangsa Pos Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pula membawa kepada penahanan dua lelaki warga tempatan di Ampang berdasarkan alamat yang tertera pada bungkusan itu.
"Pemeriksaan mendapati bungkusan itu mengandungi MDMA seberat 3.3 kg serta methamphetamine seberat dua kg, dengan nilai keseluruhan RM587,500," katanya.
Amran berkata pihaknya turut merampas 119 bungkusan mengandungi ketamin seberat 505.6 kg bernilai RM25.28 juta, yang disorokkan dalam serbuk koko di sebuah gudang di Seksyen 27, Shah Alam pada 21 Julai.
Beliau berkata operasi dilakukan hasil maklumat daripada Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.
"Seorang lelaki tempatan berusia 30-an ditahan dan telah didakwa di mahkamah,” katanya.
Amran berkata siasatan mendapati Malaysia menjadi lokasi transit oleh sindiket bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, dengan sebahagian dadah adalah dari Sepanyol dan Belanda sebelum dihantar ke pasaran lain.
Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA