MALAYSIA
Kawalan harga, subsidi minyak masak: PAC panggil beberapa saksi beri keterangan

Mas Ermieyati ketika meninjau pangkalan haram dekat Rantau Panjang, di sini hari ini. - Gambar/ Bernama
PASIR MAS: Beberapa lagi saksi akan dipanggil untuk menghadiri prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung dengan pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak.
Ringkasan AI
- PAC akan memanggil beberapa lagi saksi termasuk kemungkinan memanggil semula saksi terdahulu bagi melengkapkan prosiding berhubung pengurusan kawalan harga dan subsidi minyak masak sebelum laporan dibentangkan di Dewan Rakyat.
- Lawatan PAC ke pangkalan haram di Rantau Panjang bertujuan meninjau pelaksanaan penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke Thailand, yang merupakan sebahagian daripada siasatan prosiding.
- PAC turut meninjau tiga Loji Rawatan Air di Kelantan bagi memahami isu setempat secara langsung dan memberi ruang kepada wakil rakyat membangkitkan permasalahan yang memberi kesan kepada rakyat.
"Apabila kita dah buat syor itu dan diperhalus, kita akan bentangkan di Dewan Rakyat. Justeru, kita akan panggil beberapa saksi lagi untuk minyak masak subsidi ini ... kita akan bincang tentang pihak yang perlu dipanggil dan banyak lagi laporan dalam proses untuk kita siapkan sebelum dapat dibentangkan pada persidangan akan datang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meluangkan masa kira-kira 20 minit meninjau pangkalan haram dekat Rantau Panjang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata lawatan ke kawasan pangkalan haram di Kelantan itu bertujuan meninjau secara langsung pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan bagi membanteras penyeludupan minyak masak bersubsidi ke negara jiran, Thailand, yang merupakan sebahagian daripada prosiding berkaitan Pengurusan Kawalan Harga dan Subsidi Minyak Masak di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
"Sebab itu apabila berada di dalam bilik prosiding, kita tidak merasai situasai di sempadan ... tetapi, apabila kita turun ke lapangan, kita lihat sempadan ini betul-betul dekat ... jadi, saya lihat banyak perkara yang boleh kita syorkan dalam prosiding nanti," katanya.
Beliau berkata PAC juga turut mengadakan tinjauan di tiga Loji Rawatan Air (LRA) di Kelantan semalam untuk memberikan ruang kepada wakil rakyat di kawasan berkaitan bersama dengan pihaknya meninjau keadaan sebenar di lapangan dan mendengar penjelasan, menyatakan permasalahan serta membangkitkan isu yang mungkin memberikan kesan kepada rakyat setempat.
Tiga LRA berkenaan ialah Merbau Chondong, Jelawat dan Kelar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami