KUALA KRAI: Beberapa kawasan tumpuan di negeri ini dijangka menerima jumlah pengunjung luar biasa apabila aktiviti merentas negeri dibenarkan kelak.

Pengarah Pelancongan Seni Dan Budaya (MOTAC) Kelantan Mohd Aidil Afiezi Daud berkata, pengunjung luar Kelantan khasnya, akan menyerbu kawasan-kawasan pelancongan.

"Lokasi yang biasanya jadi tempat yang wajib dilawati ialah Pasar Siti Khadijah, waktu malam di Wakaf Che Yeh. Mereka juga akan suka beli belah di kawasan bebas cukai Pengkalan Kubor dan juga zon bebas cukai Rantau Panjang.

"Empat tempat ini biasanya jadi tumpuan pelancong kerana menawarkan pelbagai produk tempatan dan dari negara jiran, seperti periuk belanga, makanan, coklat.

"Jadi, saya minta peniaga bersedia untuk menerima kehadiran pengunjung," katanya ketika ditemui semalam.

Ketika ini, Kelantan masih lagi berada pada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun kerajaan negeri menjangkakan peralihan ke Fasa Tiga dapat dicapai pada bulan ini.

Ini kerana, program vaksinasi rakyat Kelantan sudah menghampiri sasaran 80 peratus populasi.

Pada masa sama, kawasan pelancongan juga mulai dibuka dengan kebanyakan perniagaan sudah beroperasi.

Mohd Aidil berkata, pembukaan sektor perniagaan dan kebenaran rentas negeri dapat meningkatkan kembali rantaian ekonomi sektor pelancongan yang sebelum ini berada dalam keadaan malap.

Pihak berkuasa juga sudah menetapkan prosedur operasi standard yang perlu dipatuhi bagi mengekang penyebaran COVID-19 apabila semua sektor kembali beroperasi kelak.