KUALA LUMPUR: Rakyat perlu berbangga menggunakan barangan tempatan dan tidak seharusnya terus dijajah dengan produk-produk keluaran luar negara, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh.

Beliau berkata, barangan buat Malaysia memerlukan sokongan semua pihak dan untuk itu Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia (KBBM) telah dilaksanakan bagi menjayakannya.

"Satu daripada objektif utama KBBM adalah untuk meningkatkan semangat patriotisme dalam diri dengan menyokong produk barangan kita sendiri. Kitalah penggerak dalam memastikan barangan Malaysia ni dapat pergi lebih jauh dan dikenali sehingga ke peringkat Antarabangsa," katanya di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan KBBM peringkat Lotus's Malaysia di Lotus's Cheras, di sini.

Fuziah berkata, kementeriannya selaku peneraju utama bagi KBBM sentiasa komited dalam memastikan produk jenama Malaysia dapat diperluaskan pasarannya hingga ke luar negara dan tidak terhad hanya kepada produk pilihan seperti makanan, minuman dan kecantikan, malah turut meliputi segmen lain seperti kraftangan, perabut dan fesyen.

Mengenai kerjasama dengan Lotus's Malaysia yang telah memasuki tahun keenam tahun ini, Fuziah berkata, kerjasama itu banyak memberi impak positif terhadap pembangunan industri perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKMS) negara.

Beliau berkata, menerusi inisiatif berkenaan, Lotus's Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan pada 2022 dengan jumlah jualan mencecah RM40.1 juta berbanding RM34.6 juta pada 2021, manakala nilai unit penyimpanan stok (SKU) turut meningkat dari 1,633 SKU pada 2021 ke 1,687 SKU tahun lepas.

"Peningkatan hasil jualan dan SKU melalui inisiatif KBBM ini menunjukkan bahawa Lotus's amat komited dalam membantu usahawan tempatan walaupun berdepan dengan pascaCOVID-19 mahupun isu kegawatan ekonomi yang melanda seluruh dunia," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Fuziah berkata, pihaknya menyasarkan peningkatan keseluruhan nilai jualan KBBM tahun ini sebanyak 2.5 peratus dan setakat ini ia telah menjana sejumlah RM2.7 bilion tahun lepas dengan Lotus's Malaysia mencatat jualan mencecah RM40.1 juta.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, dalam memperkasakan PKMS, perniagaan francais yang dilihat memiliki potensi besar juga antara platform yang boleh disertai mereka dan setakat ini industri berkenaan mampu menjana pendapatan lebih RM30 bilion tahun lepas.

-- BERNAMA