KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memperhalusi langkah memperkenalkan sukan elektronik (e-sukan) sebagai antara aktiviti sukan di peringkat sekolah.

Menterinya, Hannah Yeoh, bagaimanapun berkata, perkara itu masih di peringkat awal dengan mengambil kira keperluan serta potensi e-sukan dapat diperkembangkan secara meluas di premis pendidikan tersebut.

"Saya faham dengan adanya e-sukan digazetkan sebagai antara 103 sukan sudah tentu akan ada perbincangan di peringkat akar umbi untuk wujudkan pertandingan kecil membabitkan sukan itu di sekolah.

"Penyenaraian e-sukan sebagai satu sukan merupakan pengiktirafan penting. Namun kita tak boleh pastikan sukan ini boleh masuk di semua sekolah kerana bukan semua sekolah merupakan juara dalam e-sukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pelancaran Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG) di Hab ESI, di Puchong ,dekat sini, pada Selasa.

Hannah berkata, langkah memperkenalkan e-sukan dalam masa sama akan diperbanyakkan dengan penganjuran pelbagai kejohanan setelah e-sukan disahkan membuat penampilan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

Terdahulu, NESDEG dilancarkan secara rasmi sebagai panduan kepada semua pemegang taruh berkaitan tadbir urus yang lebih efektif, hak dan tanggungjawab dalam kalangan penggiat dan pemain industri e-sukan.

Enam teras utama di bawah NESDEG turut diumum meliputi pelbagai skop penting untuk pembangunan ekosistem sukan elektronik yang selamat, bertenaga, inklusif dan mampan iaitu pengurusan kontrak pemain, tadbir urus penganjuran acara dan memantau serta melindungi kanak-kanak.

Ia turut membabitkan tatakelakuan dan etika, garis panduan laluan kerjaya serta aplikasi sains dan perubatan sukan dalam e-sukan. - BERNAMA