KUANTAN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperuntukkan hampir RM60 juta sehingga kini bagi kerja-kerja menyelenggara dan membangunkan fasiliti sukan di Pahang, kata Timbalan Menterinya Senator Datuk Seri Ti Lian Ker.

Beliau berkata peruntukan berkenaan melibatkan kerja-kerja selenggara antaranya di Stadium Darul Makmur, Kompleks Rakan Muda Rompin, Kompleks Rakan Muda Maran, Kompleks Sukan Pekan dan Kompleks Sukan Komuniti Pelanggai, Bentong selain membangunkan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang di sini.

"Apabila kerja-kerja pembangunan dan selenggara ini siap kelak, kami berharap lebih ramai komuniti setempat melibatkan diri dalam aktiviti sukan," katanya pada sidang media di sini hari ini yang turut dihadiri Datuk Bandar Kuantan Datuk Hamdan Hussin.

Mengulas mengenai Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang yang mula dibina pada tahun lepas, beliau berkata projek yang menelan belanja kira-kira RM30 juta itu dijangka siap Ogos tahun depan.

Antara fasiliti yang disediakan di kompleks yang mesra orang kurang upaya (OKU) itu adalah padang bola sepak, trek balapan, gimnasium, gelanggang pelbagai guna, asrama, auditorium dan dewan.

"Dalam menggunakan kemudahan awam apa saja kerosakan yang berlaku perlu ditanggung oleh kerajaan, justeru saya berharap kemudahan yang disediakan dijaga dengan baik untuk kebaikan kita bersama," katanya.

Sementara itu, Ti memaklumkan KBS turut meluluskan RM500,000 untuk kerja selenggara Stadium Hoki Wisma Belia, Indera Mahkota di sini antaranya bagi menaik taraf bilik persalinan dan padang.

-- BERNAMA