KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan 100,000 peserta dalam Program Sekolah Rukun Negara.

Timbalan menteri berkenaan Adam Adli Abd Halim berkata sejak dilancarkan pada 12 Julai lepas, fasa asas program tersebut berjaya melibatkan penyertaan 76,166 orang belia dengan fasa pertengahan dan lanjutan dirancang dilaksanakan bermula tahun hadapan.

"Sebagai satu daripada mekanisme dalam meraikan perbezaan pandangan berteraskan kepada tanggungjawab dan kebenaran, KBS telah melancarkan Program Sekolah Rukun Negara.

"Program bersifat latihan dengan tiga fasa utama iaitu asas, pertengahan dan lanjutan ini kita laksanakan dengan tujuan untuk memberikan kefahaman berkaitan dengan sistem demokrasi dan kenegaraan melibatkan kumpulan sasar dalam kalangan belia berusia 15 hingga 30 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang ingin tahu rancangan KBS untuk membangunkan belia seluruh negara memandangkan sebahagian mereka mempunyai pandangan berbeza dengan Kerajaan MADANI.

Menurutnya, program berkenaan memberikan penekanan terhadap falsafah kenegaraan dan demokrasi; perlembagaan Persekutuan; pilihan raya; parti politik; institusi parlimen; pentadbiran awam; kerajaan tempatan; institusi kehakiman; media dan akses kepada maklumat; masyarakat sivil; seni dan budaya serta kesaksamaan gender.

"Proses pembangunan modul ini dilaksanakan secara komprehensif dengan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi ahli akademik, agensi kerajaan, aktivis belia dan pemimpin politik kerajaan mahupun pembangkang.

"Program ini melihatkan keseriusan KBS untuk memastikan anak muda terus melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai perbahasan penting berkaitan isu-isu demokrasi dan kenegaraan sekali gus membantu membentuk pemikiran berteraskan kepada pengetahuan dengan sulaman kepada elemen-elemen nilai murni selaras dengan prinsip Malaysia MADANI," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengenai sekatan maklumat di media sosial, Adam Adli berkata setiap langkah yang diambil kerajaan dalam menyelia kandungan tersiar adalah berlandaskan peruntukan undang-undang.

"Terutamanya dalam zaman pascakebenaran, banyak maklumat perlu kita tapis untuk memastikan ia tidak tersasar daripada fakta sebenar," katanya.

-- BERNAMA