MALAYSIA
KBS tunggu keputusan rayuan kepada FIFA, enggan isu sama berulang - Hannah

Hannah (foto) berkata FAM sebagai sebuah persatuan sukan yang besar dan berpengalaman, diyakini mempunyai keupayaan serta pasukan perundangan mencukupi untuk menguruskan proses rayuan berkenaan. -Gambar fail/Bernama
CYBERJAYA: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menunggu keputusan rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung hukuman dikenakan badan induk itu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Ringkasan AI
- KBS menunggu keputusan rayuan FAM kepada FIFA berhubung kes pemalsuan dokumen sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi, dan yakin FAM mampu menguruskan proses rayuan secara profesional.
- FAM didenda RM1.8 juta dan tujuh pemain warisan digantung 12 bulan serta didenda RM10,560 setiap seorang selepas didapati menyerahkan dokumen palsu untuk kelayakan Piala Asia 2027.
- Tiada keperluan buat masa ini untuk KBS memberi bantuan tambahan kepada FAM bagi urusan rayuan itu memandangkan persatuan mempunyai sumber sendiri.
"Saya hanya akan memberikan kenyataan rasmi selepas keputusan rayuan FIFA.
"Saya pasti kalau ada silap mana-mana saya nak pastikan kita ada ruang untuk memperbaiki supaya perkara ini tidak berlaku lagi.
"Tetapi buat masa ini masih terlalu awal kerana saya nak tahu status rayuan kepada FIFA dulu sebelum buat apa-apa komen lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Belia (RTD) Memperkasa Pendidikan Kesihatan Seksual Dan Reproduktif di RekaScape, di sini, hari ini.
Hannah berkata tiada keperluan buat masa ini untuk KBS memberi bantuan tambahan kepada FAM bagi urusan rayuan itu memandangkan persatuan mempunyai sumber sendiri.
Jumaat lepas, FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
FIFA menerusi kenyataan memaklumkan FAM menyerahkan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain, sekali gus membolehkan mereka diturunkan dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lepas.
Tujuh pemain warisan yang dikenakan tindakan ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Sehubungan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF2,000 (kira-kira RM10,560) serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa mulai tarikh notifikasi keputusan tersebut.
Ahad lepas, Setiausaha Agung FAM Datuk Noor Azman Rahman mengakui terdapat kesilapan teknikal dalam proses penyerahan dokumen yang dilakukan kakitangan pentadbiran badan induk itu.
Noor Azman berkata pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menegaskan para pemain terbabit adalah rakyat Malaysia yang sah.
Beliau menambah FAM kini menunggu keputusan penghakiman penuh daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada.
Dalam perkembangan lain, RTD merupakan program anjuran Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama PUSPANITA Kementerian Belia dan Sukan yang disertai seramai 222 belia.
Hannah berkata KBS berpegang kepada mesej utama abstinence iaitu menjauhi hubungan seks sebelum berkahwin, namun bagi belia yang pernah terlanjur, pendekatannya adalah mendidik dan membimbing kembali ke landasan yang betul dengan memberikan maklumat tepat tentang cara melindungi diri.
Katanya pelbagai program kesedaran sedang dijalankan termasuk kempen anti-dadah, anti-pornografi dan inisiatif sayangi diri, yang dilaksanakan secara bersama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami