SAN FRANCISCO: YouTube secara rasmi melancarkan ciri pemasa baharu pada aplikasi mudah alihnya bagi membolehkan pengguna mengehadkan masa tontonan YouTube Shorts, sebagai usaha menangani kebimbangan berkaitan ketagihan kandungan digital.
Kemas kini berkenaan membolehkan pengguna menetapkan had masa tontonan harian menerusi tetapan pengurusan masa, termasuk pilihan untuk menetapkan had sifar minit, yang akan menyembunyikan tab Shorts daripada antara muka aplikasi.
Advertisement
Apabila had masa yang ditetapkan tamat, sistem akan memaparkan notifikasi amaran serta menyekat fungsi tatalan seterusnya bagi hari berkenaan.
Bagi akaun kanak-kanak dan remaja, ciri ini disepadukan dalam sistem kawalan ibu bapa, di mana amaran had masa tersebut tidak boleh diabaikan atau ditutup, bagi memastikan pengurusan masa tontonan yang lebih berkesan.
Langkah itu dilihat sebagai respons proaktif YouTube terhadap kebimbangan pakar kesihatan global mengenai kesan kandungan video pendek terhadap tahap tumpuan serta kesihatan mental pengguna muda.
Ciri pemasa berkenaan kini diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna peranti Android dan iOS di seluruh dunia, sebagai peluasan kepada alat kesejahteraan digital sedia ada yang diperkenalkan sebelum ini.
Walaupun video Shorts masih boleh diakses menerusi saluran langganan atau pautan terus, kawalan baharu itu dijangka dapat mengurangkan tabiat tontonan tanpa henti dalam kalangan pengguna.