KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan tahniah kepada jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang atas kejayaan merangkul pingat emas acara keirin lelaki pada Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek 2026.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kejayaan luar biasa pelumba yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ di Velodrom Nasional Nilai, di Negeri Sembilan, semalam lahir dari semangat dan jiwa seorang juara.
Advertisement
“This man is a living legend (dia ini seorang legenda). Apa yang Datuk Mohd Azizulhasni Awang lakukan semalam benar-benar luar biasa.
“Sesiapa yang menyaksikan pecutan beliau semalam tahu itu bukan sekadar kayuhan biasa, tapi lahir dari semangat dan jiwa seorang juara. Tahniah Datuk Azizul. Terima kasih kerana terus mengharumkan nama Malaysia!,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Persembahan cemerlang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 itu menyaksikan beliau menewaskan pencabar utama yang juga juara dunia Harrie Lavreysen dari Belanda di tempat kedua, manakala wakil Trinidad dan Tobago Nicholas Paul terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
Kejayaan itu adalah kemenangan kedua Mohd Azizulhasni dalam siri Piala Dunia musim ini selepas menjuarai acara sama di Perth, Australia pada Mac lepas.
-- BERNAMA