GUA MUSANG: Seorang lelaki warga Thailand direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes tetak yang mengakibatkan kematian rakan senegaranya di Kampung Pulai, di sini, pada Khamis lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 46 tahun itu dikeluarkan oleh Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri dan berkuat kuasa sehingga Sabtu.
Advertisement
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, reman berkenaan dikeluarkan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Beliau berkata, mayat mangsa, seorang lelaki warga Thailand berusia 48 tahun, ditemui dalam keadaan terlangkup di kawasan anak sungai di Kampung Pulai, dengan kesan tetakan pada beberapa bahagian tubuh.
Menurutnya, Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang menerima maklumat mengenai penemuan lelaki berkenaan kira-kira jam dua petang, hasil pencarian yang dilakukan oleh salah seorang rakan senegara mangsa selepas menyedari kehilangannya.
Mangsa, yang bekerja sebagai penoreh getah, ditemui berhampiran kawasan berbatu dalam keadaan tanpa seurat benang.
Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami banyak kesan tetakan serta luka dipercayai akibat senjata tajam di bahagian kepala, muka, leher, tangan dan kaki.