NATIONAL
KDN kenakan Perintah Larangan tujuh buku termasuk 'Darlingku Mr. Cold Mafia'

Perintah Larangan itu di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana dikhuatiri memudaratkan kemoralan dan ketenteraman awam.
PUTRAJAYA: Kerajaan mengenakan Perintah Larangan ke atas tujuh judul penerbitan buku berikutan dikhuatiri memudaratkan kemoralan dan ketenteraman awam.
Ringkasan AI
- Kerajaan menguatkuasakan Perintah Larangan terhadap tujuh judul buku mulai April 2025 di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana dikhuatiri memudaratkan kemoralan dan ketenteraman awam.
- Buku-buku yang dilarang termasuk karya tempatan dan antarabangsa seperti Love, Theoretically, Tuan Ziyad: Forbidden Love, Darlingku Mr. Cold Mafia, dan The American Roommate Experiment.
- Larangan ini meliputi semua bentuk pengedaran dan pemilikan, dan bertujuan mencegah penyebaran elemen yang boleh mengganggu keselamatan negara; maklumat lanjut boleh diakses di laman rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan.
"Perintah Larangan bawah Akta 301 ini merupakan satu mekanisme kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan itu berlaku. Pada masa sama, masyarakat turut memperoleh pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini serta tidak sesuai untuk bacaan umum," menurut KDN.
Menurut kenyataan itu sebagaimana peruntukan di bawah subseksyen 7(1) Akta 301, pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan kesemua hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak di Malaysia.
"Kerajaan ingin menyatakan komitmen yang berterusan untuk melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan terhadap mesin cetak dan penerbitan, khususnya bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan ketenteraman awam," menurut kenyataan itu.
Maklumat lanjut berkaitan hasil penerbitan yang telah dikenakan tindakan Perintah Larangan bawah Akta 301 juga boleh diakses menerusi laman sesawang rasmi KDN atau portal Perundangan Persekutuan Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami