Skip to main content

Malaysia

KDN tegas, tiada kompromi salah laku pegawai dan anggota AKPS

Sumber: KDN
Pegawai dan anggota AKPS yang bertugas di lapangan terbang, pintu masuk darat serta pelabuhan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan hanya individu yang mempunyai tujuan sah serta dokumen perjalanan lengkap dibenarkan memasuki negara ini. - Foto KDN

SUNGAI BULOH: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah guna kuasa atau salah laku dalam kalangan pegawai dan anggota Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang bertugas di pintu masuk negara, tegas Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN Datuk Abdul Halim Abdul Rahman berkata tindakan undang-undang atau tatatertib akan dikenakan terhadap mana-mana pegawai yang didapati menjejaskan integriti perkhidmatan.

Advertisement

"Mereka yang menyalahgunakan kuasa atau menjejaskan integriti akan dikenakan tindakan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002)," katanya ketika berucap pada Program Ihya Ramadan dan Iftar bersama warga AKPS di sini semalam.

Beliau berkata pegawai dan anggota AKPS yang bertugas di lapangan terbang, pintu masuk darat serta pelabuhan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan hanya individu yang mempunyai tujuan sah serta dokumen perjalanan lengkap dibenarkan memasuki negara ini.

"Peranan anda bukan sekadar pemeriksaan semata-mata. Bertugas di pintu masuk negara mungkin kelihatan mudah, hakikatnya ia adalah satu amanah besar dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," katanya.

Abdul Halim menegaskan integriti perlu menjadi teras dalam setiap pelaksanaan tugas bagi memastikan kawalan sempadan negara dilaksanakan secara berkesan dan berwibawa.

Beliau turut memaklumkan AKPS ditubuhkan bagi mengendalikan operasi di pintu masuk yang diwartakan dengan menyatukan peranan lebih 20 agensi yang sebelum ini beroperasi secara berasingan, termasuk Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam.

"Sebelum ini lebih 20 agensi beroperasi secara berasingan di sempadan negara. Kini kita mempunyai satu pasukan yang lebih kukuh dan berfokus bagi melaksanakan fungsi kawalan sempadan dengan lebih berkesan," katanya.

Terdahulu, 200 pelajar tahfiz dari enam sekolah sekitar Sungai Buloh diraikan pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah AKPS (Pengurusan) Ismail Mokhtar dan Timbalan Ketua Pengarah AKPS (Dasar) Zuraini Othman.

-- BERNAMA
 

Must Watch Video