Kementerian Dalam Negeri (KDN) yakin kumpulan penggodam mesin ATM masih berada di Malaysia dan polis sedang berusaha menjejaki penjenayah dan menumpaskan aktiviti kumpulan berkenaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, siasatan pihak berkuasa mengenalpasti terdapat lebih dari dua kumpulan yang melakukan kegiatan itu di beberapa negeri dan setakat ini belum ada tangkapan dilakukan.

Beliau turut mencadangkan bank-bank terlibat menambahbaik kualiti keselamatan dan mengemaskini sistem pengkomputeran pada mesin ATM kendalian mereka bagi mengelak daripada terus menjadi mangsa kumpulan penggodam.

“Mereka guna teknologi canggih. Mereka boleh godam mesin ATM menggunakan virus. Bila masuk virus, akan dapat maklumat kod tertentu dan mereka boleh keluarkan duit daripada ATM.”

Beliau berkata kepada media selepas majlis pemakaian pingat Jasa Pahlawan Negara di pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di Ayer Keroh.

Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob hadir menyempurnakan majlis.

Menurut Dr Wabn Junaidi, pihak polis tidak boleh mendedahkan sepenuhnya berhubung siasatan yang dilakukan serta jumlah kerugian yang membabitkan semua bank terlibat.

Beliau bagaimanapun menjelaskan perkhidmatan bank menerusi internet masih dijamin selamat dan berkata pengguna tidak perlu risau.

Rentetan kejadian penggodaman mesin ATM sejak Sabtu, polis melancarkan operasi khas ‘Ops Albatross’ untuk mengesan dan memberkas penjenayah terlibat.