Dalam usaha memajukan negara dan rakyat, kerajaan sedang berusaha melaksanakan Wawasan Kemakmuran Bersama.

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, matlamatnya adalah untuk menyediakan taraf hidup yang wajar kepada semua rakyat Malaysia.

“Ia sedang digerakkan dengan objektif menjadikan Malaysia lebih cemerlang dan menjadi antara paksi ekonomi penting di Asia.

“Pada masa sama, usaha juga dipergiat untuk meningkat kuasa beli rakyat dan menghapus jurang pendapatan dan kekayaan antara kelas, kaum dan wilayah.

“Wawasan kemakmuran bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan dalam kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-62 pada Jumaat.


Pada masa sama, Tun Mahathir turut berharap sempena Bulan Kemerdekaan ini, rakyat Malaysia tidak kira agama, bangsa dan budaya akan mendalami diri masing-masing dan mencari semangat setiakawan.

Ia bagi membangunkan negara sehingga menjadi sebuah negara yang berjaya.