KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya meletakkan garis masa keberkesanan sesebuah insiatif pendidikan, sebelum ditukar-tukar bagi memastikan insiatif berkenaan boleh dinilai, dan dikaji oleh para pendidik, dan penyelidik sama ada ia boleh diteruskan ataupun tidak.

Pendapat itu disuarakan Pensyarah Kanan Jabatan Asas Pendidikan, Fakulti Pendidikan UiTM, Khadijah Said Hashim yang berkata acuan pendidikan negara akan selalu beralih arah, jika hala tuju pendidikan diubah-ubah terutamanya ketika perubahan menteri dan kerajaan.

“Hasrat saya satu, yang saya perlu suarakan bila apabila berubah kerajaan, sama atau perubahan Menteri.
“Jika cadangan atau inisiatif terdahulu itu bagus, teruskan, tidak perlu ditukar-tukar, akhirnya ke mana hala tuju pendidikan kita kalau kerap bertukar-tukar,” katanya.

Baginya juga, sistem pendidikan Malaysia sememangnya memerlukan suatu anjakan, namun perlu memberi ruang kepada sesuatu intervensi dilaksanakan terlebih dahulu seperti yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) pada Isnin.

Antara yang ditekankan ialah kembali kepada asas pedagogi pembelajaran iaitu menguasai kemahiran tiga m, membaca menulis dan mengira.

Selain itu beliau menasihatkan ibu-bapa dan komuniti tidak terlalu menunding jari menyalahkan sistem pendidikan, tetapi perlu terlibat sama dalam memastikan pendidikan terbaik buat para pelajar.

“Intervensi (Pendidikan) tidak akan jalan dengan mudah jayanya tidak ada gandingan pihak-pihak lain.

“Ini bukan kerja seorang, bukan tugas KPM sahaja tetapi ibu baoa, komuniti sekolah, kalau berganding bahu, intervensi ini kita boleh jayakan.

“Kena percaya ini satu proses, dan proses itu memerlukan masa bukan hari ini sudah keluarkan, dua hingga tiga hari, bulan bahkan tahun sudah berjaya dia tidak jadi begitu,” tambahnya lagi.

Pandangan itu disuarakan dr khadijah dalam program AWANI Pagi pada selasa, bagi membincangkan topik ‘Intervensi Pendidikan: Masa Depan Yang Lebih Baik Buat Pelajar Tercicir’.