KUALA LUMPUR: Keadaan di Qatar dan negara-negara Teluk masih terkawal walaupun persekitaran keselamatan di Asia Barat kini tidak menentu susulan ketegangan serantau yang menjejaskan pergerakan serta keselamatan orang awam, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata setakat ini situasi semasa belum memerlukan kerajaan mengaktifkan pelan evakuasi untuk membawa keluar rakyat Malaysia dari negara-negara berkenaan.
Advertisement
“Kita sedang meneliti, memantau keadaan di sana dan situasi sekarang ini belum lagi memungkinkan kita untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Senator Azahar Hassan mengenai langkah kerajaan memindahkan rakyat Malaysia yang dikatakan ‘terperangkap’ di Qatar dan Asia Barat akibat ketegangan di kawasan berkenaan.
Mohamad berkata Kementerian Luar (Wisma Putra) bagaimanapun telah mengambil beberapa langkah proaktif bagi memastikan kebajikan rakyat Malaysia terus terpelihara, khususnya mereka yang terjejas akibat gangguan penerbangan dan sekatan pergerakan.
Langkah-langkah itu termasuk membuka bilik gerakan 24 jam dan memastikan rakyat Malaysia dapat berhubung dengan pejabat konsulat di setiap negara terlibat, manakala kedutaan turut memantau perkembangan secara berterusan.
“Ketika ini, terdapat kira-kira 29,000 rakyat Malaysia berada di negara-negara Teluk, dengan kira-kira 13,000 daripadanya berdaftar dengan kedutaan.
"Di Qatar sahaja, seramai 2,007 rakyat Malaysia berdaftar dan kebanyakannya bekerja dengan syarikat penerbangan dan sektor berkaitan,” katanya.
Beliau menegaskan fokus kerajaan ketika ini adalah membantu rakyat Malaysia yang dalam perjalanan transit di Dubai, Oman, Abu Dhabi dan Doha manakala mereka yang menetap di sana tiada isu kerana mempunyai tempat tinggal dan kemudahan lengkap.
Mohamad berkata rundingan juga sedang diadakan dengan Lembaga Tabung Haji bagi menggunakan kemudahan penginapan milik agensi itu di Jeddah untuk membantu rakyat Malaysia yang terkesan akibat pembatalan penerbangan.
Kerajaan turut akan berusaha menguruskan kes individu termasuk pelajar yang terkandas dengan menempatkan mereka di premis kedutaan, selain berharap syarikat pengendali umrah bertanggungjawab terhadap jemaah masing-masing.
“Buat masa ini, syarikat penerbangan Malaysia tidak meneruskan penerbangan ke Arab Saudi walaupun ruang udara negara itu masih terbuka. Ini berkemungkinan besar disebabkan syarikat insurans meningkatkan premium insurans mereka sehingga menjejaskan daya maju operasi dan isu ini sedang kita selesaikan,” katanya.
-- BERNAMA