KUALA LUMPUR:Parti Keadilan Rakyat (PKR) menzahirkan kesediaan untuk bekerjasama dengan mana-mana ahli politik bagi sebuah sistem yang bebas daripada rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta mengangkat politik nilai.

Selain itu, Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti tersebut akan terus memperjuangkan agenda reformasi berpaksikan prinsip keadilan dan kesejahteraan untuk seluruh rakyat negara ini.

"Ingin ditegaskan sebarang usaha mengembalikan mandat rakyat mestilah berpaksikan keutamaan mempertahankan maruah bangsa dan negara tanpa menggadaikan prinsip perjuangan dan idealisme.

"Alhamdulillah, kita berjaya menyelamatkan negara ini daripada diisytiharkan darurat dan sekali lagi saya menzahirkan kesyukuran ke atas keprihatinan Raja-Raja Melayu mempertahankan keluhuran Perlembagaan daripada penyalahgunaan kuasa pemerintah," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, semalam Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak Covid-19.

Seri Paduka turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Ketua Pembangkang berkata peringatan dan penegasan Raja-Raja Melayu berhubung penyalahgunaan kuasa dan prinsip keadilan tidak harus dipandang enteng.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Mampukah Ahli Parlimen berhenti main politik selepas titah Agong?

BACA: LAPOR LANGSUNG: Tiada keperluan darurat, berhenti main politik - Titah Agong

Jelas beliau lagi, ia harus didukung oleh semua pihak yang mempunyai kesedaran dan kejituan dalam menolak kebobrokan.

Dalam kenyataan sama, Anwar berkata Pembentangan Belanjawan 2021 yang dijadual pada November ini harus melibatkan usaha dan peranan kedua-dua pihak (bipartisan).

"Yakni kerajaan dan pembangkang dalam merencana strategi yang ampuh dalam menangani dampak pandemik COVID19, pengangguran dan juga masalah kemiskinan," katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berpendapat tiada keperluan untuk baginda mengisytiharkan darurat di Malaysia atau mana-mana bahagian di dalam negara.

Seri Paduka mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan memerangi wabak COVID-19.

Seri Paduka turut mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.