KUALA LUMPUR: Cadangan keanggotaan Majlis Perkhidmatan Parlimen akan dipertimbangkan dalam mesyuarat jawatankuasa pada 13 Okt, menandakan langkah seterusnya dalam menubuhkan badan yang bertanggungjawab menyelia Perkhidmatan Parlimen yang dikembalikan semula.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata majlis itu merupakan satu daripada dua entiti utama yang akan ditubuhkan di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, selain Perkhidmatan Parlimen itu sendiri.
“Majlis itu akan meneliti Perkhidmatan Parlimen. Keanggotaannya akan terdiri daripada Yang Dipertua kedua-dua Dewan, Setiausaha Dewan Negara dan Dewan Rakyat, serta wakil daripada blok kerajaan dan pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Seni, Populariti dan Survival Kewangan di sini hari ini.
Azalina berkata pegawai awam yang kini berkhidmat di Parlimen kemudiannya akan diberi pilihan sama ada untuk kekal di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau berpindah ke Perkhidmatan Parlimen yang khusus.
“Apa yang lebih penting bagi saya ialah mempunyai struktur, termasuk penggubal undang-undang Parlimen dan kemudahan bebas yang lain, yang membolehkan Parlimen beroperasi sendiri tanpa campur tangan cabang eksekutif Persekutuan. Itu merupakan langkah seterusnya yang sedang kita lihat di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen,” katanya.
Azalina mengulas lanjut rencana pandangannya bertajuk “Perkhidmatan Parlimen: Memanfaatkan Kebebasan Parlimen demi Rakyat”, yang dilaporkan Bernama hari ini.
Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata Parlimen harus kekal sebagai institusi yang berkhidmat untuk rakyat Malaysia tanpa mengira gabungan politik mana yang membentuk kerajaan.
“Tidak kira sama ada anda daripada pihak kerajaan atau pembangkang, Parlimen mesti berkhidmat untuk semua. Tidak seharusnya wujud sebarang kecenderungan bahawa Parlimen lebih memihak kepada kerajaan,” katanya.
Azalina berharap pengembalian kebebasan institusi itu akan menggalakkan lebih banyak Rang Undang-Undang Persendirian dibentangkan oleh Ahli Parlimen serta memberi peluang lebih besar kepada penggubal undang-undang untuk menyumbang kepada perbincangan berkaitan perundangan dan dasar.
“Anda tidak boleh menganggap cabang eksekutif sentiasa betul. Parlimen menyediakan ruang untuk pandangan yang berbeza dikemukakan,” katanya.
Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Okt, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen, 34 tahun selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.
-- BERNAMA