NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: IWK kecualikan bil, sediakan pengosongan tangki septik percuma

Narendran berkata, pengecualian bil tersebut diberikan kepada pengguna sistem bersambung yang tinggal di kawasan berkenaan bagi tempoh bil pembetungan yang dikeluarkan pada April sehingga Disember 2025. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Penduduk yang terjejas akibat kejadian letupan paip gas di Putra Heights, kini bakal menikmati pengecualian bil Indah Water Konsortium (IWK) 100 peratus, selain perkhidmatan pengosongan tangki septik percuma.
Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam dalam satu kenyataan berkata, pengecualian bil tersebut diberikan kepada pengguna sistem bersambung yang tinggal di kawasan berkenaan bagi tempoh bil pembetungan yang dikeluarkan pada April sehingga Disember 2025.
"Bagi pengguna sistem tangki septik, IWK turut menawarkan perkhidmatan pengosongan tangki secara percuma kepada pengguna yang telah membuat penjadualan perkhidmatan tersebut bagi tempoh yang sama.
“Pada kesempatan ini, IWK ingin menzahirkan rasa simpati terhadap semua mangsa yang terjejas dan mendoakan agar proses pemulihan berjalan lancar serta kesejahteraan komuniti di Putra Heights dapat dipulihkan seperti sediakala.“Inisiatif tanggungjawab sosial korporat ini adalah bertujuan untuk meringankan sedikit beban penduduk di kawasan terbabit, di samping memastikan sistem pembetungan yang cekap di kedua-dua Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru terpelihara,” katanya.
Dalam pada itu jelas Narendran, bagi memastikan ketepatan pengebilan selepas tempoh bantuan berakhir, semua akaun pelanggan akan disemak semula pada Januari 2026.
"Akaun yang dikenal pasti sebagai mengalami kerosakan keseluruhan (total lost) akan dinilai semula selepas premis disahkan selamat dan sesuai untuk diduduki.
“Sebagai langkah tambahan, siasatan tapak juga akan dilaksanakan semula bagi mengenal pasti premis yang telah sesuai untuk tujuan pengebilan. IWK akan menilai keperluan untuk melanjutkan atau menamatkan bantuan berdasarkan hasil semakan dan status pemulihan pada masa tersebut.
“Untuk sebarang pertanyaan dan penjelasan lanjut mengenai inisiatif bantuan ini, pelanggan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan IWK di talian 03-2083 2828 atau emel ke [email protected],” ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami