NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Petronas Gas kukuh komitmen keselamatan dan kebolehpercayaan

Menurut Petronas Gas, saluran paip gas yang terjejas di Putra Heights adalah saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang direka dan dibina mengikut piawaian antarabangsa. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd (PGB) menegaskan bahawa ia sentiasa mematuhi langkah-langkah keselamatan yang ketat selaras dengan piawaian antarabangsa dalam semua peringkat operasinya.
Ringkasan AI
- Petronas Gas Bhd (PGB) sentiasa mematuhi langkah keselamatan ketat dan piawaian antarabangsa dalam operasinya.
- PGB mengaktifkan sistem keselamatan kawalan jauh untuk mengawal dan memadamkan kebakaran di Putra Heights, serta mengambil langkah kontingensi untuk meminimumkan gangguan bekalan gas.
- Operasi saluran paip PGB dipantau 24/7 dengan teknologi canggih seperti SCADA, CCTV, dan dron untuk memastikan keselamatan dan tindak balas cepat terhadap sebarang kelainan.
"Semua langkah-langkah yang diperlukan telah diambil untuk memastikan kawasan kejadian selamat," katanya.
Ia secara proaktif telah melaksanakan langkah-langkah kontingensi untuk meminimumkan gangguan dalam bekalan gas.
PGB berkata ia membuat penyelarasan dengan agensi kerajaan serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memulihkan dan mengekalkan bekalan secepat mungkin dengan cara yang selamat kerana ia komited untuk memastikan akses tenaga yang tidak terganggu.
Saluran paip gas yang terjejas di Putra Heights adalah saluran paip Penggunaan Gas Semenanjung (PGU), yang direka dan dibina mengikut piawaian antarabangsa dengan penekanan yang kukuh terhadap keselamatan awam.
Untuk beroperasi, sistem saluran paip PGB menjalani kawalan dan jaminan kualiti yang teguh serta ketat dan mendapat kelulusan Permit untuk Mengendalikan (PTO) dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, menurut kenyataan itu.
PTO memastikan reka bentuk dan operasi yang selamat.
"Di samping itu, program pengurusan integriti aset kami turut memastikan operasi perjalanan serta keselamatan berterusan aset syarikat, yang disokong oleh lapan pejabat serantau di seluruh Semenanjung Malaysia untuk melaksanakan aktiviti pemeriksaan dan penyelenggaraan yang komprehensif.
"Ini merangkumi, antara lain, program pemeriksaan saluran paip berkala menggunakan teknologi pemeriksaan saluran paip," katanya.
Secara luaran, PGB berkata ia telah memasang Sistem Perlindungan Katodik yang disokong oleh pemantauan pergerakan tanah dan cerun.
Program-program ini dijalankan oleh petugas yang berwibawa dan berkelayakan PGB.
Selanjutnya, operasi saluran paip PGB dipantau serta dikawal 24/7 dengan teknologi canggih seperti Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), Sistem Pengesanan Kebocoran Saluran Paip, kamera litar (CCTV) dan Sistem Akustik Teragih di Pusat Kawalan Gas Petronas (PGCC).
"PGB kerap menjalankan pengawasan tanah dan udara melalui dron oleh pengendali yang berkelayakan bagi membolehkan tindak balas yang cepat terhadap sebarang kelainan.
"Jika terjadi sebarang keabnormalan, kami dapat menentukan lokasi yang tepat melalui SCADA dan Sistem Maklumat Geografi Masa Nyata Petronas, yang membolehkan kami memberi amaran kepada pasukan tindakan cepat terdekat dari pejabat serantau masing-masing," kata PGB.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami