NATIONAL
Kebakaran gas Putra Heights: Polis terima 642 laporan, rakam 118 percakapan saksi - KP Selangor

Hussein (depan, dua, kanan) ketika bercakap kepada pemberita pada sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTPK) di Putra Heights pada Ahad. -Astro AWANI
SUBANG: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 642 laporan polis setakat jam 12 tengah hari ini berhubung insiden letupan gas di Putra Heights.
Ringkasan AI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 642 laporan polis dan merakam 118 percakapan saksi berhubung insiden letupan gas di Putra Heights.
- Kerja siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) belum dapat dimulakan kerana kawasan masih tidak stabil dan ditakungi air.
- Kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
"Bagi siasatan pula sebanyak 118 percakapan saksi telah dirakam daripada pelbagai pihak termasuk satu laporan polis ada orang bermain mercun pada malam 31 Mac,” katanya.
Hussein berkata demikian dalam satu sidang media di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PTPK) di Putra Heights, di sini, pada Ahad.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerja siasatan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor masih belum dapat dimulakan.
“Kerja-kerja siasatan belum dapat dimulakan kerana masih dalam fasa menstabilkan ground zero. Ia sangat tidak stabil akibat letupan dan kini ditakungi air akibat hujan,” kata Hussein.
Mengulas lanjut, pihaknya telah menjalankan siasatan dengan mengali semula laluan paip kumbahan yang dipasang oleh sebuah syarikat kontraktor.
“Didapati paip kumbahan ini dipasang pada kedalaman 2.1 meter dari aras jalan yang sedia ada di situ.
“Keterangan lanjut didapati kerja-kerja korekan yang dibuat oleh kontraktor ini tidak melebihi 3 meter sepanjang jalan tersebut dengan lebar korekan adalah 1.5 meter.
"Kerja-kerja korekan dan pemasangan ini telah dilakukan sepanjang lebih kurang 30 meter dan dipercayai akan disambung lagi,” katanya.
Tambah Hussein, jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan.
“Kerja-kerja galian dilakukan menggunakan tiga jengkaut, satu bulldozer dan 1 backhoe sedang diteruskan lagi untuk membuka kawasan dan meninjau kedudukan paip Petronas yang dipercayai berada di kedalaman antara 6 dan 7 meter.
“Pihak polis mendapati paip gas ini berada pada kedalaman 5.6 meter dari aras jalan. Maksudnya jarak di antara paip kumbahan dan paip gas adalah 1.6 meter.
"Keadaan fizikal paip ini tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata,” katanya.
Selasa lalu, kebakaran saluran gas Petronas pada jam 8.10 pagi 1 April mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celcius dan mengambil masa selama hampir lapan jam untuk padam sepenuhnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami